Demokratik atau tidak PAS?

Fathi Aris Omar : Tiada Noktah

Barisan tokoh baru dalam senarai teratas barisan pemimpin PAS pasti menarik banyak orang. Minggu-minggu ke depan kita akan menyaksikan ulasan dan harapan tentang perubahan dalam parti agama ini. Tetapi apakah benar dan serius parti ini mahu perubahan dan demokrasi?

Saya ingin mengulas kenyataan tiga tokoh PAS – presiden, ketua pemuda dan seorang tokoh muda yang dianggap berfikiran maju, Mujahid Yusuf Rawa. Ketiga-tiganya, pada hemat saya, sama ada memberikan isyarat yang bercampur-campur atau tidak benar-benar memahami demokrasi.

Kita mulakan dengan artikel Mujahid, ‘Masa depan PAS di kaca mata rakyat’ (Harakah, 1-15 Jun 2005) yang saya kira – aktivis media Melayu seperti saya – sangat menyejukkan jiwa dan membuka seluas-luasnya harapan. (more…)

Posted: June 6, 2005 Ulasan (0)

‘Defisit individualisme’ Melayu

Fathi Aris Omar : Tiada Noktah

“It is certainly wrong to regard society as a kind of deity upon whose altar the individual must constantly be sacrificed.” – Anwar Ibrahim, Asian Renaissance.

Di negara kita, di kalangan orang Melayu umumnya, individu dan individualisme sering dicurigai. Individualisme dianggap faham Barat yang bercanggah dengan tradisi Melayu, faham agama atau nilai Timur yang mengutamakan masyarakat.

Oleh kerana terlalu mengutamakan orang ramai, maka seorang pejalan kaki di negara kita, tidak terkecuali di lorong-lorong masuk ke KLCC, atau di jalan-jalan kota Jakarta, dilihat seperti seekor ‘tikus’! Semangat gotong-royong atau musyawarah kita tidak ubah ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. (more…)

Posted: May 9, 2005 Ulasan (0)

Islam di ‘air yang tenang’

Fathi Aris Omar : Tiada Noktah

The political processes of all nations are wider and deeper than the formal institutions designed to regulate them; some of the most critical decisions concerning the direction of public life [….] are made in the unformalized realms of what [Emile] Durkheim called ‘collective conscience’…. – Clifford Geertz, The interpretation of cultures (2000: 316)

Rumusan Geertz, ahli antropologi tersohor Amerika Syarikat, ini tidaklah baru. Gianbattista Vico, seorang pemikir Itali pada abad ke-19, pernah merungut: “homo non intelligendo fit omnia.” Maksudnya kira-kira, “manusia menjadi dirinya seperti hari ini tanpa memahami apa yang berlaku (yang telah membentuknya)”.

Demokrasi dan Islam, tidak terkecuali. Sama ada sekular atau agama, ideologi politik terjaring dalam satu himpunan faktor pengaruh yang cukup kompleks untuk dikenali kecuali dengan kesedaran, penelitian dan renungan yang mendalam. Kalau kita jujur, sejarah idea demokrasi dan Islam, dalam konteksnya di negara ini, haruslah disemak kembali agar kita tidak terserempak dengan ‘buaya di air yang tenang.’ (more…)

Posted: April 25, 2005 Ulasan (0)

Hak demokratik dan ‘hudud’

Fathi Aris Omar : Tiada Noktah

Soal ‘padang tidak sama rata’ dan hubungannya dengan PAS, harap janganlah mengulang-ulang hujah sedemikian dengan saya. Tulisan seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Ahli PAS Bangsar’ (APB) dalam suratnya ‘Tulisan Fathi Dijawab’ (Malaysiakini.com, 14 April 2005) dirujuk.

Selain muak, saya telah berkali-kali menulis di kolum ini dan beberapa penerbitan lain sejak bertahun-tahun yang lalu. Saya sendiri tidak faham kenapa parti Islam ini, dan rakan-rakannya dalam Barisan Alternatif, ‘tidak serius’ dengan persoalan ini – usaha-usaha membesarkan ruang demokrasi tetapi tanpa sepenuhnya disedari, mereka turut menganut nilai-nilai dan amalan – amalan tidak demokratik.
Malah, saya sendiri bingung kenapa PAS (atau aktivis Islam) sendiri menghayati budaya buruk tidak demokratik itu, ingin menyekat orang lain daripada bersuara. Sedangkan tidakkah pada asalnya mereka turut menentang realiti buruk ‘padang permainan yang tidak sama rata’ itu?

Misalnya, kenapa susah bagi mereka menulis jawapan, atau memberi penjelasan, dengan tenaga dukungan hampir 500,000 ahli dan penyokong di serata negara? Sudah terlalu sering saya bersuara di sini sehingga tidak wajarlah saya mengulang-ulangkan lagi hal ini di sini. (more…)

Posted: April 18, 2005 Ulasan (0)

PAS mengancam demokrasi

Fathi Aris Omar : Tiada Noktah

Ketua Pemuda PAS menggesa kerajaan mengambil tindakan undang-undang ke atas 50 badan bukan kerajaan (NGO) dan lebih 200 individu yang mengirim memorandum agar persoalan ‘moral’ (maksudnya di sini, dari perspektif mereka) dipisahkan daripada pentadbiran negara.

“Jika kerajaan boleh menggunakan (akta) ISA ke atas ahli politik, Al-Arqam, Kumpulan Militan Malaysia (KMM) atas alasan keselamatan negara, maka kerajaan juga boleh menggunakan tindakan undang-undang ke atas kumpulan 50 NGO ini,” Salahuddin Ayub dilaporkan berkata (Harakahdaily.net, 7 April).

Beliau juga dilaporkan mendesak dengan tegas agar kerajaan menyiasat dan mendakwa badan-badan bukan kerajaan itu di mahkamah berikutan “tindakan liar mereka yang jelas telah mengancam keselamatan negara”.

Bagi Salahuddin, 50 NGO dan lebih 200 individu itu menyebarkan “pemikiran yang berbahaya kepada akidah dan keselamatan negara”! (more…)

Posted: April 11, 2005 Ulasan (0)

Semua layak mengulas Islam

Fathi Aris Omar : Tiada Noktah

Ketika seorang penulis ingin mengupas satu isu Islam, tidak lama dulu, Farish A Noor dan saya dihubungi melalui e-mel. Dia ingin bertanya beberapa hal agar menjadi lebih jelas. Berhati-hati sekali penulis bukan Islam itu cuba ‘mencampuri urusan’ yang dianggap berhubungan dengan orang Islam.

Walaupun kami tidak berdiskusi lanjut, tetapi Farish dan saya sepakat bahawa bukan Islam harus lebih yakin, berani dan aktif mengupas isu-isu orang Islam dalam konteks demokrasi. Sikap yang terlalu berhati-hati (psikologi) dianggap tidak sihat, pada hemat saya, walau sikap teliti dalam mengkaji, berfikir dan berhujah itu dalam semua bidang (bukan hanya agama) sentiasa mustahak.

Masyarakat bukan Islam ada ‘suara’ dan ‘hak’ dalam kehidupan bersama dengan orang Islam. Interaksi ini sama sahaja seperti berjual beli di pasar atau minum di restoran, kenapa pula harus dipisah-pisahkan antara Islam atau bukan Islam? Bezanya, sesuatu tulisan atau pandangan itu bersifat komunikasi akliah dan ideologi, bukan hanya interaksi antara peribadi atau fizikal.

Tidak ada salahnya orang bukan Islam mengupas atau menunjukkan sikapnya dalam urusan kehidupan orang Islam. Soal kejahilan atau salah faham mereka terhadap Islam tidak timbul. Yang penting dia menyatakan pandangannya dengan rasional dan matang, maksudnya bukan dengan sengaja bertujuan menghina atau memprovokasi ketegangan (fizik). (more…)

Posted: April 4, 2005 Ulasan (1)

‘Maksiat’ sebagai wacana politik

Fathi Aris Omar : Tiada Noktah

Myth consists in overturning culture into nature or, at least, the social, the cultural, the ideological, the historical into the ‘natural’” – Roland Barthes dalam Image, Music, Text (1978)

Kata bukan sekadar komunikasi seperti kita memandang langit biru. Kata sering seumpama sepasang mata lelaki merenung seraut wajah perempuan (atau sebaliknya) – boleh jadi tanpa niat tersirat tetapi sukar dinafikan, juga memendam hasrat.

Kata umumnya menyimpan muatan nilai dan di sini kepentingan politik tidak terhindar. Kata-kata ‘sesat’ dalam tradisi Kristian, ‘PKI’ (dalam sejarah Indonesia) atau ‘ahli sihir’ (sejarah Eropah) pernah bermakna ‘menghalalkan darah’ jutaan manusia.

Walau analisa wacana, discourse analysis, sejenis alat ilmiah dan intelektual menarik yang boleh digunakan untuk membedah kepentingan politik di sebalik kata-kata berbau agama, tetapi kita jarang mendengarnya. Entah kerana kita jahil, bersetuju atau takut, istilah-istilah agama sering kita terima seadanya, seolah-olah kata-kata itu berkecuali, jujur dan benar. (more…)

Posted: March 21, 2005 Ulasan (0)

‘Kritik agama’ cabang reformasi

Fathi Aris Omar : Tiada Noktah

Ilmu, wacana dan institusi sosial – selain kuasa dan modal – menjadi sebahagian unsur atau jaringan dominasi, atau setidak-tidaknya hegemoni. Dengan takrif paling sederhana, hegemoni itu boleh dilihat sebagai penundukan akal, jiwa dan jasad melalui kaedah memujuk atau meyakinkan. Hegemoni, berbeza dengan kuasa rasmi, tidak memerlukan kekerasan atau paksaan.

Tetapi hegemoni ini, akibat sifatnya yang lembut, mengasyikkan dan tersembunyi, juga penghalang terbesar usaha kita menyeru ke arah demokratisasi, hak asasi, kebebasan dan persamaan hak. Walau memang agama (dalam kes ini, Islam) boleh dijadikan wacana dan luahan rasa perlawanan kelompok tertindas terhadap hegemoni-hegemoni lain seperti kuasa Barat atau tatasusun kapitalisme, sewaktu era penjajahan misalnya, tetapi ia turut menyedut kita dalam hegemoninya tersendiri.

Walau iklim tidak demokrasi yang dipelopori Umno sering dikritik, hegemoni agama belum sungguh-sungguh dipecahkan, termasuk versi parti ini atau lawannya PAS. Umno mencipta wacana, iklim politik dan ideologi paternalismenya sendiri – sama ada atas nama kepentingan bangsa dan agama, kestabilan negara, pembangunan ekonomi atau pemupukan moral. Soal ‘kritik ideologi’ terhadap Umno atau negara belum cukup mendalam, itu menjadi cabaran bagi kita semua. Memang jelas, kritik pada kuasa negara dan kerajaan sudah cukup leluasa; tetapi kritik atas agama belum. (more…)

Posted: March 14, 2005 Ulasan (0)

Puisi dalam trauma bahasa

Fathi Aris Omar : Tiada Noktah

When the general atmosphere is bad, language must suffer. I should expect to find … that the German, Russian and Italian languages have all deteriorated in the last ten or fifteen years, as a result of dictatorship. But if thought corrupts language, language can also corrupt thought. A bad usage can spread by tradition and imitation, even among people who should and do know better.” – George Orwell dalam esei Politics and the English language (1946)

Dalam sejarah kesusasteraan Indonesia, hampir tidak ada seorang pun penyair yang pernah bertugas sebagai tentera. Tetapi beberapa seniman atau sasterawan seperti Pramoedya Ananta Toer, Marah Rusli dan Usmar Ismail (sekadar menyebut tiga nama besar), pernah terbabit dalam dunia ketenteraan. Di republik ini, tentera mempunyai makna lebih besar, mendalam dan menakutkan daripada kuasa biasa politik dan pemerintahan.

Penyair sanggup sendirian dan sentiasa menjarakkan diri daripada kekuasaan, analisa sasterawan Afrizal Malna. “Puisi banyak bermain dengan politik pemaknaan, sementara politik banyak bermain dengan pengagihan kekuasaan. Maka manakala pengagihan kekuasaan yang dijalankan politik dianggap kian kehilangan akal sihatnya, puisi akan cenderung dilihat sebagai ‘suara hati’ masyarakat ketika ia berani melancarkan kritik pada kekuasaan,” tulisnya dalam Sesuatu Indonesia (hal. 413). (more…)

Posted: March 7, 2005 Ulasan (1)

Tsunami, ujian ‘Tuhan yang buas’?

Fathi Aris Omar : Tiada Noktah

‘Gelombang besar di pelabuhan’, terjemahan kepada bahasa Melayu, daripada dua kata Jepun, ‘tsu’ dan ‘nami’. Disebut pelabuhan kerana di sini tenaga air laut terkumpul. Ombak sederas 500 hingga 900 km sejam dari pusat gempa, menjadi semakin tinggi, boleh mencecah lima hingga lapan meter, apabila menghampiri pantai. Gempa di laut melebihi 6 mata di skala Ritcher cenderung, walau tidak pasti, menghasilkan tsunami.

Tergempar dengan kedahsyatan gempa dan ombak maha besar itu, ramai orang tiba-tiba condong merujuk kalimat-kalimat agama – tiba-tiba sahaja semua orang berdosa, layak direjam dengan murka Tuhan. Di tengah kebingungan akibat dahsyatnya skala bencana, agama menjadi semakin laris.

Sehingga akhir Januari, daerah-daerah Aceh dan Sumatera Utara mencatatkan korban lebih 100,000 orang, hilang (lebih 12,000) dan di khemah-khemah pengungsian (lebih 400,000). (more…)

Posted: February 28, 2005 Ulasan (0)