Sistem AP: punca krisis kereta nasional

Lee Ban Chen

Di negara kita, jika sesuatu skandal didedahkan oleh pihak pembangkang, ia sering cuba diremehkan atau terus ditutupi melalui sekatan media. Kali ini, isu AP atau permit import kereta menjadi berita hangat kerana ia dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Penasihat Proton Holdings Bhd. Beliau meminta supaya senarai nama penerima AP didedahkan secara terperinci kepada umum.

Maksud permintaan Dr Mahathir tersebut jelas sekali, kerana ketika masih menyandang jawatan Perdana Menteri, beliau pernah megambil inisiatif untuk mengumumkan senarai nama penerima kontrak kerajaan bagi membuktikan bukan semua mereka terdiri daripada kroninya.

Demi membersihkan nama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Indusri (MITI) daripada dituduh mempraktikkan amalan yang tidak diingini, maka rasanya amat perlu senarai nama penerima AP itu didedahkan, sepertimana yang disyorkan oleh Dr Mahathir.

LEE BAN CHEN, yang dilahirkan di Johor, pernah diusir dari Singapura oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1966. Pasa masa itu, Ban Chen sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Nanyang. Beliau juga pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun dari 1967 kerana terlibat dalam pemogokan petani di Ladang Bukit Asahan, Melaka and Ladang Triang, Pahang. Ban Chen juga pernah bertugas sebagai editor di akhbar Sin Chew Jit Poh selama satu tahun pada 1976.

Terutamanya memandangkan begitu luas tersebarnya tuduhan dan bisik-bisik mengenai wujudnya “Raja AP”, AP diberikan kepada kroni-kroni yang tidak layak menerimanya, termasuk anak Dr Mahathir, menantu Datin Paduka Rafidah Aziz, bekas pegawai MITI, kakitangan Umno dan kroni-kroni yang lain.

Alasan – bahawa bukan dasar kerajaan untuk mendedahkan senarai nama pemegang AP dan Dr Mahathir sendiri pun dulu tidak mendedahkan senarai tersebut, atau ianya telah didedahkan dalam Parlimen – rasanya begitu lemah dan tidak meyakinkan.

Sebarang dasar yang bercanggah dengan prinsip ketelusan, sudah barang tentu tidak dapat diterima oleh rakyat yang kini berhasratkan kepada reformasi. Dasar tidak telus, meskipun diamalkan oleh Dr Mahathir, juga tidak patut diwarisi, apatah lagi kali ini Dr Mahathir sendiri yang menuntut keadilan untuk pihak beliau.

Maklumlah, salahguna AP bukanlah sesuatu yang baru sejak dasar tersebut diperkenalkan pada tahun 1970 untuk kepentingan Bumiputera. Menurut laporan media, sejak 1987, kerajaan telah mengkaji semula pemberian AP yang melibatkan 269 pemegang. Manakala pemberian AP tidak dipertimbangkan lagi kepada syarikat-syarikat baru bukan francais.

AP ditarik balik

Antara lain, AP kepada 153 syarikat telah ditarik balik kerana mereka menjualnya, tidak beroperasi serta tiada kemudahan ruang pameran dan perkhidmatan lepas jualan, atau pengurusan akaun yang tidak teratur dan sebagainya.

Dari segi pengawasan pula, pemegang AP diwajibkan mencapai prestasi jualan sebanyak 75 peratus daripada jumlah kereta yang diimport. Jika gagal, kelulusan tahun berikutnya akan dikurangkan.

Rungutan Dr Mahathir mengenai kebanjiran kereta import dalam pasaran di negara kita jelas bertujuan untuk melindungi pasaran Proton. Tidak dapat dinafikan, menurut Rafidah, kerajaan telah meluluskan permohonan 116 pemegang AP untuk membawa masuk 66,277 kenderaan tahun lalu. Tetapi yang benar-benar diimport ialah 55,713 buah.

Dasar melindungi kereta nasional telah meletakkan negara kita dalam keadaan serba salah. Sistem AP yang dilaksanakan selama ini terbukti telah disalahgunakan, namun ia tidak boleh dihapuskan sama sekali kerana kereta nasional kita masih tidak berdaya bersaing dalam pasaran bebas.

Menurut Rafidah, Proton sebenarnya tidak boleh bertahan sekiranya sistem AP dihapuskan sama sekali. Malah, sistem AP yang terkawal telah memastikan Proton dapat terus hidup sehingga ke hari ini. Tetapi pasaran tidak lagi boleh ditutup sepenuhnya, sejajar dengan liberalisasi sektor automatif rantau ini, umpamanya mengikut perjanjian Afta.

Proton, dan juga penasihatnya, Dr Mahathir, secara tidak langsung, telah dibidas oleh Rafidah kerana gagal bertapak di pasaran luar negara, sungguhpun tiada sesiapa yang menyekat Proton untuk berbuat demikian.

Mengikut statistik yang didedahkan Rafidah, jumlah Proton yang dieksport merudum kepada hanya 7,622 pada tahun 2003 berbanding 14,965 pada 1994, dan 25,686 pada 1997.

Perbalahan Mahathir-Rafidah

Perbalahan Dr Mahathir-Rafidah berhubung isu AP membayangkan krisis kereta nasional dalam era liberalisasi sektor automatif rantau ini. Oleh kerana sistem AP telah disalahgunakan untuk menguntungkan segelintir kroni Umno, maka ia gagal memperkasakan kereta nasional agar berdikari dan berdaya saing dalam pasaran automatif rantau ini selepas dilindungi untuk sekian lamanya.

Cuba bayangkan sebuah kereta import 1.0 liter jenama popular dari Korea Selatan hanya diisytiharkan berharga RM8,762 – harga kereta tersebut menjadi RM22,868 setelah dikenakan cukai, dan dijual oleh pemegang AP pada harga RM46,000!

Atas nama melindungi kereta nasional dan demi kepentingan bumiputera, negara telah kerugian berbilion ringgit akibat perbuatan pemegang AP yang tamak dengan mengisytiharkan harga (palsu) yang terlalu rendah, dan dijual pula dengan harga yang amat tinggi!

Maka akibatnya, pengguna kereta yang rugi kerana terpaksa membeli kereta import dengan harga yang terlalu tinggi, dan ekonomi negara kita juga akan terjejas kerana kereta nasional kita telah hilang daya saing akibat terlalu bergantung kepada perlindungan negara.

Berasaskan analisis tersebut, maka ternyata sekali bahawa dasar sistem AP yang diakui Rafidah sendiri sebagai sistem yang hanya terdapat di negara kita saja, nampaknya telah gagal mencapai tujuan asalnya.

Tuduh menuduh antara Dr Mahathir dengan Rafidah hanya cuba mengelirukan masalah yang sebenar – kegagalan sistem AP dalam melindungi kereta nasional!

Sistem AP: punca krisis kereta nasional

Posted: June 15, 2005

1 Comment »

The URI to TrackBack this entry is: http://sajakkini.blogsome.com/2005/06/15/sistem-ap-punca-krisis-kereta-nasional/trackback/

  1. Rakyat menaruh kepercayaan seratus peratus kepada pemimpin. Isu AP memperlihatkan kelemahan, kecacatan, penyelewengan dan pemimpin haruslah bertanggungjawab terhadap perkara ini, tidak menyalahkan orang lain demi kepentingan orang-orang tertentu.
    JANGAN TIPU RAKYAT

    Sekian. Terima kasih kerana kita dah MERDEKA.

    Comment by rakyat tertipu — September 8, 2005 @ 1:56 am

RSS feed for comments on this post.

Sila Mengulas

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>