PAS terpaksa berubah, demi terus wujud
Aman Rais
|
PAS terpaksa berubah. Parti ini tidak mempunyai pilihan lain, selain dari melakukan reformasi atau penjenamaan semula. Ia perlu dilakukan demi survival (terus wujud) parti itu.
Ini yang dilakukan oleh para perwakilan di muktamar ke-51 parti itu baru-baru ini. Barisan pemimpin dan ahli-ahli PAS berharap dengan adanya kepimpinan baru yang diterajui para professional dan ulama liberal, parti itu mampu memulihkan pengaruhnya.
Setelah kecundang dalam pilihanraya umum tahun lalu, PAS berada dalam keadaan tertekan. Lebih-lebih lagi apabila Umno begitu agresif dan proaktif untuk memenangi hati rakyat khususnya golongan muda.
|
Perkembangan semasa di dunia yang melabel kumpulan konservatif Islam sebagai pengganas juga memberi kesan kepada pengaruh PAS.
Kerana itu PAS terpaksa berubah. Imej agresif, taksub, jumud dan konservatifnya perlu dikikis bagi menarik golongan muda dan pengundi bukan Islam.
Strategi politik
Bagaimanapun perubahan yang dilakukan sebenarnya masih tidak memadai. Para perwakilan PAS gagal membaca strategi politik yang dibentangkan oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mahu menonjolkan tokoh wanita dalam saf Naib-Presiden parti itu.
Para perwakilan membuat satu keputusan politik yang silap apabila menolak Dr Siti Mariah Mahmud.
Sepatutnya mereka memberi tempat kepada tokoh muslimat ini. Andainya Siti Mariah terpilih, PAS dapat membuktikan kepada masyrakat Islam dan bukan Islam bahawa ia juga memartabatkan wanita.
Dakwaan yang mengatakan PAS mengabaikan wanita, meletakkan wanita di ceruk dapur dapat dikikis. Umno tidak boleh mengatakan usaha PAS meletakkan wanita dalam kepimpinannya hanya gimik politik sahaja.
Jika Siti Mariah terpilih, keputusan itu pasti memberi tamparan hebat kepada Umno yang belum pernah memilih wanita menduduki kerusi nombor tiga parti itu. Adanya wanita sebagai Naib-Presiden Umno selama ini hanyalah perlantikan automatik selaku Ketua Wanita.
Malah dalam sejarah pemilihan Umnopun belum pernah ada pemimpin wanita bertanding merebut jawatan Naib-Presiden.
Nik Aziz sedar peranan ahli-ahli muslimatnya sangat penting. Beliau juga nampak bagaimana bersungguh-sungguhnya Umno memberi tempat kepada wanita di dalam parti dan kerajaan.
PAS perlu menyaingi langkah-langkah Umno dan Barisan Nasional itu bagi memenangi hati pengundi wanita negara ini.
Sebenarnya muktamar ke-51 ini adalah masa terbaik bagi ahli-ahli PAS memberi ruang kepada muslimat memegang jawatan tinggi parti. Kalau menunggu tiga tahun lagi untuk memberi ruang dan peluang kepada wanita menjadi Naib-Presiden, itu sudah terlambat.
Tahun 2008 adalah tahun pilihanraya, sepatutnya perubahan menyeluruh dalam PAS dilakukan sekarang!
Peluang keemasan
PAS telah terlepas satu peluang keemasan untuk membuktikan kepada dunia bahawa ia adalah satu parti yang terbuka dan pro-wanita.
Langkah para perwakilan memilih tokoh-tokoh muda berpendirian sederhana kali ini dilakukan tepat pada masanya. Terpilihnya Husam Musa sebagai Naib-Presiden dengan undi terbesar bukan sahaja melegakan Nik Aziz malah ahli-ahli PAS di Kelantan.
Meletakkan pemimpin muda itu sebagai orang penting diperingkat nasional sangat penting bagi pengaruh PAS di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Ketika Umno mengukuhkan pengaruh di akar umbi dan kedudukannya di Dewan Undangan Negeri Kelantan, PAS negeri itu juga perlu berubah bagi menyaingi pengaruh parti Melayu terbesar itu.
Husam adalah satu-satunya pemimpin yang dilihat mampu mengantikan Nik Aziz. Dalam keadaan Menteri Besar Kelantan itu semakin uzur, pemimpin pelapis perlu diketengahkan. Orangnya tidak lain dan tidak bukan ialah Husam.
Anak didik Nik Aziz ini telah membuktikan kebolehannya menjalankan tugas-tugas penting di negeri berkenaan. Walaupun beliau hanya anggota Exco, tetapi peranan yang dimainkannya selama ini lebih daripada seorang Timbalan Menteri Besar.
Orang Kelantan tahu Husam lebih baik dan lebih berwibawa dari para pemimpin Umno yang kini menerajui Umno negeri tersebut. Oleh itu Nik Aziz tidak teragak-agak meletakkan Husam sebagai penggantinya selepas pilihanraya 2008 nanti.
|
Kebolehan dan pengaruh Husam diharap dapat menyelamatkan Kelantan daripada jatuh ke tangan Umno pada pilihanraya umum akan datang.
Pemilihan dua tokoh dari Kedah menduduki jawatan tertinggi PAS juga dilihat sebagai strategi yang tepat. Terpilihnya Nasharuddin Mat Isa sebagai Timbalan presiden dan Mohamad Sabu sebagai Naib-Presiden diharap dapat memulihkan pengaruh parti itu di Kedah.
Selepas kematian bekas Presiden PAS, Ustaz Fadzil Noor, PAS Kedah seperti terumbang ambing. Kekosongan yang ditinggalkan oleh allahyarham perlu diisi. Kesederhanaan kepimpinan beliau perlu diganti dengan pemimpin yang liberal seperti Nasharuddin.
‘Ayam sabung’
Begitu juga dengan Mohamad Sabu, walaupun beliau bukan ulama, intelek atau professional namun selaku ‘ayam sabung’ yang berpengaruh di akar umbi, peranannya amat penting bagi menarik minat orang ramai.
Sekurang-kurangnya bagi memenuhkan dewan atau padang ceramah PAS.
Perwakilan PAS telah memilih pakej pemimpin yang baik kali ini walaupun tidak sempurna. Ia adalah barisan pemimpin masa depan. Dengan mengenepikan “kuda-kuda tua”, parti itu membuktikan ia tidak ketandusan pemimpin dan tidak takut pada perubahan.
Keputusan kali ini juga tidak menunjukkan parti itu tidak menolak golongan ulama. Presidennya masih seorang ulama dan Nasharuddin juga seorang tokoh agama, cuma beliau dilabel sederhana.
Barisan anggota Jawatankuasa Pusat PAS yang seramai 18 orang pula memperlihatkan keseimbangan antara ulama dan profesional.
PAS sebenarnya masih mengekalkan prinsip dan identitinya, parti Islam yang diterajui ulama. Cuma yang berubah selepas ini ialah pendekatan dan imejnya.
Bagai kata Nik Aziz semua ahli Pas adalah ulama, cuma yang membezakan mereka ialah tahap ilmu masing-masing.

