Lupakan Universiti Umno, banyakkan peluang pekerjaan

Aman Rais

Beberapa bahagian Umno mahu parti itu menubuhkan sebuah universiti. Kononnya untuk kepentingan pendidikan dan membela masa depan orang Melayu. Kemungkinan besar cadangan dari akar umbi Umno itu akan dibawa ke perhimpunan agung parti Julai nanti.

Jika Umno memiliki sebuah pusat pengajian tinggi, ia akan seiring dengan MCA yang kini mempunyai Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar). Tetapi persoalannya sekarang, perlukan parti Melayu terbesar itu mempunyai universitinya sendiri?

Apa implikasinya nanti? Cadangan itu perlu ditimbang sehalus-halusnya kerana ia bukan semata-mata isu pendidikan, malahan akan melarat menjadi polemik politik kelak. Sebelum ini kita ada mendengar MIC mahu menaiktarafkan institusi teknikalnya di Negeri Sembilan menjadi sebuah kolej universiti, tetapi permintaanya tidak dilayan.

AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai “pelapor berita prokerajaan” untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.

Ada juga cadangan parti Gerakan untuk menubuhkan universitinya sendiri, tetapi setakat ini belum ada kertaskerja konkrit mengenainya dikemukakan kepada kerajaan. Bagaimana kalau tiba-tiba cadangan penubuhan universiti Umno diterima dan diluluskan? Tidakkah pelbagai parti dalam Baraisan Nasional (BN) akan datang dengan cadangan universiti masing-masing?

Jangan terkejut jika DAP akan muncul semula dengan gagasan Universiti Merdekanya. Tidak salah mempunyai banyak pusat pengajian tinggi di negara ini. Juga tidak salah bagi mana-mana pihak, termasuk parti politik menubuhkan universiti atau pusat pengajian tinggi swasta. Namun adakah ia suatu yang relevan ketika ini?

Lebih-lebih lagi ketika terdapat ribuan siswazah lulusan dalam dan luar negara yang menggangur. Angka tidak rasmi mengatakan terdapat hampir 80,000 graduan menggangur walaupun kerajaan mendakwa jumlahnya hanya kira-kira 18,000 sahaja. Sepatutnya ketika ini orang politik dan pemimpin negara menumpukan perhatian kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, bukannya universiti.

Rasanya, untuk 10 tahun akan datang, bilangan pusat pengajian tinggi awam (IPTA) sebanyak 17 buah dan puluhan IPTS di negara ini masih memadai. Malah, ada di antara IPT S yang kekurangan pelajar hingga beroperasi dalam keadaan daif. Ada juga yang terpaksa dijual dan ditutup apabila perniagaan tidak menguntungkan.

Kita jangan lupa beberapa lagi universiti sedang dirancang pembinaannya, antaranya di Terengganu dan Kelantan. Itu belum termasuk kampus-kampus cawangan universiti luar negara yang bakal dibuka di negara ini. Bukankah ini bermakna ribuan graduan akan membanjiri pasaran kerja sedangkan peluang pekerjaan tidak bertambah.

Selamatkan Unitar

Seperkara lagi yang menyebabkan cadangan penubuhan universiti Umno itu tidak relevan ketika ini ialah sayap pelaburan parti itu, KUB Holdings sudahpun memiliki sebuah universiti swasta – Universiti Tun Abdul Razak (Unitar). Sewajarnyalah cadangan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Samad supaya tumpuan memilih dan memajukan Unitar, diambilkira.

Shahrir mahu Umno menyelamatkan Unitar daripada terlalu memikirkan untuk menubuhkan sebuah universiti sendiri. Sebahagian besar ahli Umno tahu keadaan Unitar yang penuh bermasalah. Sejak ditubuhkan Disember 1998 hingga kini, ia tidak lekang dari masalah pengurusan dan kewangan. Perkembangannya terbantut, tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan universiti ini.

Bukan sahaja orang lain, malah kalangan anak ahli Umno sendiri tidak memandang tinggi Unitar. Universiti ini lebih tertumpu pada kursus-kursus pengurusan, perniagaan dan teknologi maklumat. Ia tidak termasuk dalam senarai pilihan teratas para pelajar yang mencari segulung ijazah atau diploma.

Oleh itu, sewajarnyalah Uniter diselamatkan. Kalau bukan Umno yang melakukannya, siapa lagi. Unitar boleh dijadikan salah satu projek penting Umno dalam pembangunan pendidikan tinggi orang Melayu. Umno mempunyai pelbagai saluran untuk mencari dana bagi universiti ini. Umno juga mempunyai ramai pakar akademik birokrat dan teknokrat yang boleh menyumbang kepada pembangunan Unitar.

Jangan biarkan universiti yang memikul nama Perdana Menteri kedua negara itu terabai. Ahli Umno perlu ingat, jika projek KUB itu gagal, tempias malunya akan tumpah ke muka Umno dan orang Melayu juga. Unitar wajar diangkat martabatnya, diberikan imej dan pendekatan baru untuk bersaing dalam industri pendidikan yang semakin sengit sekarang. Langkah segera untuk meningkatkan mutu kursus dan pengajarannya perlu dilakukan.

Kita mahu Unitar maju seperti Utar. Bukan untuk menyaingi Utar tetapi untuk bergerak seiring dengannya. Biar berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Kita malu melihat jurang kemajuannya yang bagaikan bumi dengan langit sekarang ini. Universiti milik MCA itu menjadi idaman para pelajar Cina. Malah anak-anak Melayu juga mula mendekati universiti tersebut.

Mengatakan pencapaian Unitar tidak boleh dibandingkan dengan Utar kerana universiti milik KUB itu baru enam tahun ditubuhkan, bukanlah satu alasan yang baik. Lama atau baru wujudnya sesebuah pusat pengajian tinggi itu tidak boleh menghalalkan kelemahan dan kepincangannya. Unitar bukan calang-calang projek. Ia adalah sebuah projek parti menerusi sayap komersilnya.

Oleh itu, tidak sepatutnya ia berada dalam keadaan ‘hidup segan mati tak mahu’. Cadangan penubuhan universiti Umno ini tidak boleh ditangani dengan emosi. Ia tidak boleh diterima semata-mata bagi memenuhi desakan pihak tertentu. Agenda universiti Umno mesti berpandangan jauh, mencakupi kepentingan nasional, wawasan luas negara dan keperluan strategik.

Oleh itu, diharapkan Julai nanti, perwakilan Umno dapat membincangkan isu ini dengan rasional. Kalau ditubuhkan juga sebuah universiti Umno, pastikan ia boleh menjadi institusi kebanggaan orang Melayu, bukan gajah putih yang memalukan!

Lupakan Universiti Umno, banyakkan peluang pekerjaan

Posted: May 24, 2005

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://sajakkini.blogsome.com/2005/05/24/lupakan-universiti-umno-banyakkan-peluang-pekerjaan/trackback/

Belum ada Ulasan Lagi.

RSS feed for comments on this post.

Sila Mengulas

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>