Malang Harizal, tuah siapa?

Aman Rais

Sepuluh orang lagi remaja yang ingkar menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan didakwa tidak lama lagi. Seluruh negara tertanya-tanya dan ternanti-nanti siapakah mereka?

Anak siapa mereka? Apa latarbelakangnya? Apa kaum dan bangsanya? Apa sebab musabab mereka enggan menyertai program itu? Dan apa pula hukuman yang dikenakan ke atas mereka kali ini?

Selepas kontroversi hukuman ke atas pesalah PLKN yang pertama, Ahmad Harizal Ahmad Fauzie dari Kangar, Perlis, kerajaan nampaknya tidak mendapat jalan mudah dalam menangani kes ini.

AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai “pelapor berita prokerajaan” untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.

Kali ini, kerajaan bukan sahaja berhadapan dengan emosi dan sentimen rakyat malah dengan dua institusi penting negara iaitu badan kehakiman dan pendakwaan.

Kedua-dua institusi adalah badan bebas yang beroperasi dan membuat keputusan berdasarkan fakta kes. Kerajaan pula adalah sebuah parti politik yang mahu segala dasar, rancangan dan arahannya dilaksanakan dan dipatuhi. Pada masa yang sama ia mahu menjaga hati rakyat khususnya para penyokongnya.

Satu dilema besar. Ditelan mati emak, diluah mati ayah. Mana satu mahu dipilih – bertegas dengan para pesalah PLKN itu atau berlembut dengan budi bicara yang bijaksana. Menangani kes in ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan bertabur!

Ubah masa depan

Kes Ahmad Harizal ini telah memberi banyak pengajaran kepada pelbagai pihak. Bagi remaja berusia 18 tahun ‘malas’ untuk menyahut panggilan PLKN itu, mendiami lokap polis semalaman tentunya memberi pengajaran yang sangat berharga pada dirinya.

Beliau sempat mengalami kehidupan sebagai banduan. Digari tangannya dan tidur di lokap yang pastinya meloyakan. Tentunya pengalaman itu menyedarkan beliau untuk sentiasa mematuhi undang-undang pada masa depan.

Paling penting, semalaman di lokap telah mengubah masa depan Ahmad Harizal. Beliau bernasib baik kerana kesnya mendapat liputan luas media massa serta perhatian orang politik. Simpati Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim terhadap Harizal dan keluarganya telah mencerahkan masa depan remaja ini.

Nasib Harizal tidak akan kekal sebagai budak pembajak sawah yang bersekolah setakat tingkatan dua sahaja. Dia akan keluar dari Akademi Pembinaan Malaysia dengan kemahiran dalam selok belok pembinaan rumah. Selepas ini dia boleh merealisasikan impiannya untuk membina rumah yang lebih sempurna dan selesa untuk ibunya.

Itulah hikmahnya kes ini bagi Harizal. Bagi pihak pendakwa dan penghakiman pula, kes ini mengajar tentang betapa pentingnya budi bicara dalam membuat pendakwaan dan penghakiman. Memang benar undang-undang perlu ditegakkan tanpa memilih bulu, namun adakalanya kebijaksanaan dan rasa kemanusiaan perlu juga dipertimbangkan.

Lebih-lebih lagi dalam kes membabitkan remaja yang melakukan kesalahan bukan jenayah. Kalau Harizal seorang Mat Rempit, Mat Dadah; atau Mat Samseng; mungkin wajar dia digari dan dikenakan hukuman keras.

Manja dan keras kepala

Tindakan menghukum Harizal dengan keras telah menimbulkan kemarahan rakyat. Ramai yang berpendapat pesalah PLKN itu sepatutnya dikenakan hukuman lebih ringan atau dibebaskan begitu sahaja setelah mengambilkira latarbelakang dirinya dan keluarganya.

Walaupun Harizal turut bersalah kerana tidak berterus terang tentang kemiskinan dirinya dan keluarganya ketika disoalsiasat, namun orang ramai tetap berpendapat dia tidak wajar dihukum sekeras itu.

Malah mereka membela remaja itu dengan mempersoalkan kaedah soalsiasat polis. Apa yang diharapkan dari Harizal yang pendiam dan tidak bersekolah itu apabila disoalsiasat oleh polis? Dia mungkin tertekan, mungkin digertak, ditengking, dimarahi dan sebagainya.

Sedangkan orang dewasa dan berpendidikan tinggi boleh ‘cair’ dibilik soalsiasat, inikan pula budak mentah yang belum tentu mengerti apa sebenarnya erti P-L-K-N. Oleh itu, selepas ini pihak pendakwa perlu berkerja lebih keras menyiasat kes-kes ‘lari’ dari PLKN ini.

Kita tahu ramai yang sengaja ingkar atau enggan menyertai program ini. Mungkin kerana manja, tidak mahu berpanas dan berlasak, maka mereka mencari pelbagai alasan untuk mengelak. Atau mereka memang benar-benar malas dan degil.

Mungkin majoriti daripada 4,269 orang remaja yang telah disenaraihitamkan oleh jabatan berkenaan, tergolong dari golongan ini – manja, malas dan keras kepala – tetapi keluarganya berkemampuan. Sewajarnyalah mereka diheret ke mahkamah tetapi bukan untuk dihukum seperti penjenyah.

Jadi ‘hero rakyat’

Kenakan mereka hukuman yang bijaksana, hukuman yang tidak menyeksakan tetapi mengaibkan dan memberi pengajaran yang mendalam. Mungkin hukuman khidmat masyarakat adalah alternatif terbaik.

Hukuman membersihkan alam sekitar di tempat awam untuk tempoh tertentu di tempat tertentu mungkin akan mengajar para pesalah PLKN ini menjadi lebih kental dan patriotik jiwa mereka.

Menghukum mereka dengan motivasi mengubah diri adalah lebih baik daripada mencampak mereka kepenjara yang sekali gus mendedahkan mereka bergaul dengan penjenayah.

Begitu juga menghukum mereka dengan denda ratusan atau ribuan ringgit tidak akan memberi kesan kerana ramai pesalah PLKN mampu membayarnya. Akhir sekali bagi kerajaan, kes Harizal ini amat memalukan mereka.

Secara mata kasar nampak seolah-olah kerajaan amat kejam. Mujurlah kes ini tidak berlaku pada tahun 2008, ketika pilihanraya umum hampir menjelang.

Jika tidak parti pembangkang akan mendapat bola tanggung untuk melanyak Barisan Nasional!

Dan bagi Datuk Seri Shahidan pula, kes Harizal ini sedikit sebanyak memberi ‘political mileage’ yang amat penting baginya. Bermodalkan RM600, beliau muncul sebagai ‘hero rakyat”.

Keikhlasan Menteri Besar Perlis itu tidak perlu dipertikaikan. Beliau sekadar menjalankan tanggungjawabnya. Kalau bukan pemimpin yang membela rakyat, siapa lagi?

Malang Harizal, tuah siapa?

Posted: May 17, 2005

1 Comment »

The URI to TrackBack this entry is: http://sajakkini.blogsome.com/2005/05/17/malang-harizal-tuah-siapa/trackback/

  1. Hm… poor kid. I belive he shouldnt have been jailed. The government should have re-considered. He was a poor fella, he had better things to do. Plus, PLKN in my opinion is just a waste of time(see www.antiplkn.tk ) thats all.
    -zid

    Comment by zid — June 20, 2005 @ 1:52 pm

RSS feed for comments on this post.

Sila Mengulas

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>