Krisis diesel dan cara penyelesaiannya

Lee Ban Chen

Ketua pembangkang Lim Kit Siang marahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PDNHEP) Datuk Mohd Shafie Alpdal kerana asyik memberi statistik tetapi gagal memberi saranan penyelesaian krisis diesel baru-baru ini.

Kit Siang memang betul, statistik tidak dapat menggantikan saranan penyelesaian, tetapi ini tidak bermakna statistik tidak berguna. Umpamanya, dalam isu yang dibincangkan, statistik dapat membantu kita memahami bagaimana seriusnya permasalahan yang negara kita hadapi.

Umpamanya perbezaan harga subsidi diesel – 88 sen seliter – dengan harga industri – RM1.70 seliter – adalah punca kegiatan penyangak. Sesiapa yang sanggup membeli diesel pada harga subsidi dan menjualnya dengan harga lebih tinggi untuk kegunaan industri, akan mendapat keuntungan lumayan.

LEE BAN CHEN, yang dilahirkan di Johor, pernah diusir dari Singapura oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1966. Pasa masa itu, Ban Chen sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Nanyang. Beliau juga pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun dari 1967 kerana terlibat dalam pemogokan petani di Ladang Bukit Asahan, Melaka and Ladang Triang, Pahang. Ban Chen juga pernah bertugas sebagai editor di akhbar Sin Chew Jit Poh selama satu tahun pada 1976.

Justeru itu, mengikut statistik yang didedahkan Shafie, jumlah kenderaan yang menggunakan diesel tahun lalu hanya bertambah 6.6 peratus – iaitu dari 16,683 pada tahun 2003 bertambah sehingga 17,784 tahun lalu. Namun, sebaliknya, penggunaan diesel bertambah 35 peratus sehingga 1.45 bilion liter tahun lalu.

Ini bermakna hampir 30 peratus pertambahan diesel subsidi itu, mungkin telah lesap diseludup keluar negeri atau dijual untuk kegunaan industri yang tidak layak mengguna diesel subsidi.

Tidak salah apabila Shafie mengatakan ini adalah angkara penyangak. Yang menjadi masalahnya ialah siapakah penyangak itu? Dan siapa pula yang bersubahat dengan mereka sehingga kegiatan mereka berleluasa selama ini?

Kata Shafie, kementeriannya tidak tahu. Dua pihak yang boleh disyaki – pertama pihak yang bertanggungjawab mengagihkan kuota diesel, dan kedua majikan 3,400 stesen minyak di seluruh negara.

Sistem kuota diesel

Banyak pihak menyalahkan pelaksanaan sistem kuota diesel mulai Januari tahun ini. Sejak itu, kekurangan diesel di stesen minyak kian ketara, sungguhpun kementerian PDNHEP telah menaikkan 10 peratus kuota bekalan. Malah bekalan untuk bulan Mei, Jun dan Julai juga turut didahulukan.

Kekurangan diesel dalam pasaran dan menjelang kenaikan bahan api itu, telah meningkatkan lagi kegiatan penyangak sehingga mengakibatkan ia sampai ke tahap krisis yang menggemparkan seluruh negara!

Menurut Shafie, ini satu sabotaj yang boleh melumpuhkan ekonomi negara. Dianggarkan tahun ini, beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan akan mencecah RM6 bilion di samping RM9 bilion subsidi. Dalam tiga tahun kebelakangan ini, defisit kerajaan hampir sama dengan subsidi, iaitu masing-masing 27 bilion!

Shafie mengakui, sejak tahun 1980-an lagi, kegiatan penyangak telah wujud, tetapi masa itu industri yang menjual diesel kepada stesen minyak. Tetapi kali ini berlaku sebaliknya di mana stesen minyak (atau mana-mana pihak yang terbabit) yang menjual diesal subsidi kepada pihak industri.

Satu persamaan lagi ialah baik dahulu maupun sekarang, nampaknya kerajaan tidak dapat membuat apa-apa untuk membanteras kegiatan penyangak yang begitu berleluasa sekali. Ini bermakna berbilion-bilion wang minyak telah ditelan oleh sindiket penyangak ini!

Sungguhpun krisis diesel telah menjadi riuh-rendah, tetapi hingga sekarang, pihak berkuasa yang terbabit, masih tidak dapat mengemukakan cara penyelesaian yang berkesan untuk memulihkan keyakinan rakyat dalam mengatasi krisis yang boleh melumpuhkan ekonomi negara itu.

Apabila sistem kuota diesel dilaksanakan, pihak berkuasa terbabit sepatutnya boleh meramalkan masalah yang akan timbul, kerana stesen minyak menerima diesel subsidi mengikut kuota. Tetapi apabila sesiapa saja dibenarkan membeli diesel dari stesen minyak, maka bagaimanakah ia dapat menjamin kuota yang ditetapkan itu mencukupi? Dan bagaimana pula ia dapat menjamin stesen minyak tidak menjual diesel subsidi dengan harga yang lebih tinggi kepada pihak industri?

Membebankan rakyat

Tanpa pemantauan dan pencegahan yang berkesan, pelaksanaan sistem kuota sudah pasti akan gagal kerana wujudnya jurang perbezaan yang besar di antara harga diesel subsidi di stesen minyak dan harga diesel penggunaan industri .

Ada pihak menyaran supaya jurang perbezaan harga ini dihapuskan. Tindakan ini sudah barang tentu terlalu drastik dan tidak praktikal. Jika subsidi diesel ditarik balik dengan tiba-tiba, tentu banyak penerima subsidi tidak mampu menahan akibatnya.

Jika industri juga disubsidikan, sudah tentu kerajaan tidak akan setuju untuk mensubsidikan yang mampu dan tidak layak menerimanya. Dalam keadaan ini, ada ura-ura supaya kerajaan menaikkan lagi subsidi harga diesel untuk mengecilkan jurang perbezaan harga tersebut.

Ini bermakna, dalam beberapa bulan sahaja, kerajaan mungkin menaikkan harga diesel buat kali kedua dan ini tentu akan mengakibat inflasi yang membebankan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Oleh itu, rasanya yang lebih munasabah ialah bertekad untuk memerangi kegiatan penyangak dengan meningkatkan pemantauan, pencegahan dan hukuman.

Di samping itu, jika sistem kuota hendak dikekalkan, maka prasyaratnya ialah suatu sistem yang lebih praktikal dan sempurna hendaklah digubal agar stesen minyak mendapat bekalan kuota yang mencukupi, dan pada masa yang sama, dapat pula dicegah diesel subsidi dijual kepada pihak industri.

Andainya Shafie tidak berupaya untuk mencari penyelesaian yang berkesan dalam masa yang singkat untuk mengatasi krisis diesel yang boleh melumpuhkan ekonomi negara, selain daripada meletakkan jawatan, apa pula boleh dibuatnya?

Krisis diesel dan cara penyelesaiannya

Posted: May 4, 2005

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://sajakkini.blogsome.com/2005/05/04/krisis-diesel-dan-cara-penyelesaiannya/trackback/

Belum ada Ulasan Lagi.

RSS feed for comments on this post.

Sila Mengulas

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>