Minyak dan gaya hidup

Hishamuddin Rais

Krisis diesel meruncing - Jawatankuasa khas bermesyuarat hari ini cari jalan atasi kemelut. Apa sudah jadi? Sistem kuota yang diperkenalkan mulai 1 Januari lalu untuk mengekang kegiatan penjualan diesel subsidi secara haram, kini mencetuskan masalah baru. Sistem itu telah mengakibatkan berlaku krisis bekalan diesel yang paling buruk dalam sejarah negara.

Di merata-rata tempat di seluruh negara, rakyat sedang gelisah. Minyak diesel yang digunakan untuk pengangkutan terutamanya, sudah tidak cukup.

Kesan paling teruk ialah di Sarawak sehingga menyebabkan persatuan lori tunggal mengancam untuk melancarkan mogok 2 Mei ini jika isu itu tidak selesai. Utusan Melayu - (April 28)

Almost nothing, however, is heard of the phenomenon of “peak oil”. According to conventional wisdom, we have plenty of oil left. The current high oil prices will come to an end, whereafter we will be able to look forward to a return to cheap oil, and continuing supplies of it well into the century. Ergo, our oil-addicted economies can remain healthy and continue to grow. We have plenty of time to develop alternatives to oil. No need for concern, much less panic.

Yet, according to increasingly vocal whistleblowers, oil is depleting fast, and the age of cheap oil will soon be over. Economies can’t function without cheap oil. We have no time to develop energy alternatives. Economic depression akin to that of the 1930s lurks around the corner. Independent - London (April 25)

HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Beliau merupakan pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho, Isham adalah lulusan daripada sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.
Kolumnya di malaysiakini - DOTMAI - terberhenti sejak April 2001 selepas penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Isham dibebaskan Jun lalu selepas dua tahun di Kem Tahanan Kemunting. Kini Isham muncul semula dengan kolum DOTMAI KEMBALI di mana beliau akan menulis mengenai isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup.

United States President George W. Bush has failed in his effort to get the Saudi Government to increase oil production in the near term. In a meeting at his ranch in Crawford Texas the President sought the help of Saudi Crown Prince Abdullah to ease the pressure on the world price of oil.

But the Saudi Government has said there is nothing it can do because its production is already at or near full capacity, and that the long-term solution to the oil price problem is for the US to increase its investment in refining capacity. Energy Bulletin (April 26)

PAS mendesak agar kerajaan menyiasat termasuk menarik balik lesen PDA 7 yang dimiliki oleh lebih 30 pengusaha tetapi sebenarnya mereka tidak pernah membuka mana-mana stesen minyak. Malah, tegas Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar, pihak ini yang setaraf dengan pemegang lesen kelas A (kontraktor) sebaliknya telah menyalahgunakan minyak yang mereka miliki kepada pihak-pihak tertentu. Ini, menjadi salah satu punca bagaimana negara boleh mengalami krisis kekurangan minyak diesel yang begitu ketara beberapa hari kebelakangan ini. Harakah (April 28)

‘Omong-omong politikus’

Minggu ini untuk pertamakalinya kita dikatakan berhadapan dengan krisis minyak. Orang ramai dilanda oleh kekurangan bahan bakar minyak diesel. Mengikut laporan media kita – yang tersilap ialah peralihan sistem kuota agihan minyak ini.

Sistem ini diperkenalkan pada 1 Januari lalu untuk mengelakkan penyeludupan minyak ini ke luar negara. Minyak diesel kita mengikut ‘omong-omong politikus’, telah diberi subsidi. Ertinya minyak diesel kita lebih murah jika dibandingkan dengan harga di negara jiran, justeru berlaku penyuludupan.

Tetapi untuk saya heboh-heboh ini hanyalah satu strategi untuk mengolah persetujuan orang ramai agar harga minyak akan dapat dinaikkan lagi. Harga minyak pasti akan naik. Malah dalam masa yang tidak lama, mungkin juga dalam tahun ini, harga minyak akan naik lagi. Ini adalah hakikat yang wajib diterima.

Bagi saya, kerajaan-kerajaan mana negara pun tidak perlu membuat ‘heboh-heboh’ untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk menerima kenaikkan harga minyak. Kerajaan Indonesia, misalnya, tidak perlu mengerakkan kapal perangnya ke perairan Malaysia sebelum berani memberitahu rakyat yang harga minyak akan dinaikkan. Kerajaan Thailand tidak perlu membezakan harga minyak di Haadyai lebih murah jika dibandingkan dengan harga di Stockholm, sebelum harga dinaikkan.

Sayangnya, kebanyakan pemimpin politik adalah manusia- manusia bebal yang tidak memiliki fikrah keintektualan yang berani. Keadaan menjadi lebih buruk kerana mereka tanpa kesedaran dan keprihatinan terhadap orang ramai kecuali untuk mendapat kerusi dan terus berkuasa. Lihatlah bagaimana politikus-politikus kita di Malaysia merasa amat selesa untuk bertelagah sama sendiri tentang mudarat Injil dalam Bahasa Melayu atau pakaian pramaguri kita menaikkan nafsu syahwat Yang Berhormat.

Politikus kita daripada kesemua parti cuba menjadi lebih ameoba dari hydra. Mereka cukup bijak merewang-rewang ke dunia remeh tanpa berani melihat hakikat. Bagi saya, mereka adalah tenggiling yang akan berguling menutup mata dan kepala apabila melihat tangki dan loji minyak semakin kering.

Hakikat yang mahu saya nyatakan di sini ialah bahan bakar dalam dunia ini telah sampai ke dataran puncak. Ertinya seperti rajah graf, apabila bahan bakar ini telah sampai ke puncak, maka ianya akan menurun. Pengeluaran minyak sedikit demi sadikit sedang menurun dan akhirnya minyak akan habis.

Ada para geologis yang berpendapat, puncak minyak ini telah sampai dan kita hari ini sedang dalam era penurunan. Ada pula geologis yang berkata ianya belum sampai lagi. Ini mungkin betul dan mungkin salah. Belum ada sebulat pendapat tentang tarikh puncak pengeluaran minyak tetapi semua geologis sebulat suara bersetuju bahawa puncak minyak wujud dan minyak akan susut.

Saya tidak terdidik dalam ilmu geologi dan kajibumi tetapi dari pemerhatian yang rapi, saya sedang melihat kesusutan bahan bakar minyak. Justeru, saya ingin menjadi perawi dan pendakwah yang membawa mazhab bahawa puncak dataran minyak sedang berada di sekeliling kita hari ini.

Saya memang tidak menyakini statistik-statistik minyak yang dikeluarkan – sama ada oleh syarikat minyak atau pun dari kerajaan negara pengeluar minyak. Kedua-dua pihak ini memiliki kepentingan untuk berbohong atau tidak memberikan data yang tepat.

Tiada data sebenar

Negara-negara pengeluar minyak – Opec – sengaja menaikkan jumlah tong minyak yang tersimpan dalam perut bumi mereka. Statistik jumlah ini sengaja dinaikkan untuk diketahui umum di setiap persidangan OPEC. Negara yang memiliki simpanan yang banyak akan mendapat kuota yang lebih besar. Dalam masa harga satu tong telah melintasi US$50, maka setiap negara ingin merebut kuota pengeluaran yang lebih tinggi.

Bahan bakar minyak adalah sumber yang strategik. Jadi dengan sendirinya angka-angka yang tepat tidak pernah diumumkan. Aramco (syarikat minyak Arab Saudi) tidak pernah mengeluarkan statistik kepada umum. Arab Saudi pengeluar minyak terbesar dalam dunia menganggap perniagaan minyak sebagai rahsia, bukan sahaja untuk orang luar malah rakyat Saudi sendiripun tidak mengetahui.

Sikap yang sama juga di lakukan oleh Petronas. Berapa juta tong jumlah sebenarnya minyak yang telah digali dan dijual oleh Petronas? Berapa ratus bilion ringgit pendapatan negara hasil daripada jualan minyak ini?

Sehingga ke hari ini tidak wujud data dan statistik. Bukan hanya Minah Kerinchi dan Mak Cik Felda tidak diberitahu malah Yang Berhormat tukang labon di Parlimen turut sama menjadi ‘ngok’ tidak tahu dan tidak berani menyoal. Orang ramai hanya mendengar desas-desus dan khabar angin bahawa minyak di Terangganu yang masih dalam perut laut pun telah dipajakkan kepada negara asing dan hasilnya telah digunakan terlebih dahulu.

Lihat pula bagaimana Indonesia yang seharusnya tidak lagi menjadi anggota Opec kerana bukan lagi menjadi negara pengeluar tetapi negara pengimpot minyak. Pekara ini tidak diwarwarkan kepada umum. Mitos Pertamina jaguh pengeluar minyak terus mendodoikan rakyat Indonesia. Pekara yang sama juga sedang berlaku di Nigeria dan Algeria.

Syarikat gergasi minyak seperti Shell, BP, Esso atau Exxon, berkemungkinan mengembongkan data dan statistik perniagaan minyak mereka. Ini dilakukan untuk kepentingan pemegang saham. Lihatlah bagaimana tahun lalu CEO Shell telah dipaksa meletakkan jawatan kerana dia didapati menaikkan jumlah angka minyak tersimpa Shell. Ini dilakukan agar saham Shell terus menarik mata hati pelabur.

Minggu lalu secara resmi badan penyiasat Weapons of Mass Destruction (WMD) dari kerajaan Amerika telah melaporkan kepada umum bahawa tidak ditemui apa-apa bentuk WMD di Iraq. Maka sahehlah tuduhan dan anggapan rakyat dunia dua tahun dahulu bahawa serangan ke atas Iraq bertujuan untuk menakluki telaga-telaga minyak.

Iraq adalah negara kedua dalam dunia ini, selepas Arab Saudi yang memiliki banyak simpanan minyak dalam perut buminya. Negara ketiga ialah Iran. Tiga negara ini memiliki lebih daripada satengah bahan minyak mentah dunia yang masih belum digali. Jadi bukan satu yang mustahil jika hari ini Iran sedang dihuruharakan dengan tuduhan senjata nuklear. Ini adalah satu lagi persediaan untuk menakluki telaga minyak Iran oleh kuasa imperial Amerika.

Kuasai telaga minyak

Apa yang saya ingin saya buktikan disini ialah betapa pentingnya bahan starategik yang semakin berkurangan ini. Kuasa imperial sedang berperang dan sanggup menghantar anak-anak muda mereka ke liang lahad. Kuasa imperial sanggup berbelanja berbilion dollar untuk menguasai semua telaga-telaga minyak yang sedia ada dan telaga yang bakal dicarigali.

Pada 26 April yang baru lalu ini, Putera Abdullah dari Arab Saudi telah menjadi tamu di kampong Presiden Bush di Crawford Texas. Pertemuan ini berlangsung dalam suasana di mana para pengguna kereta di Amerika Syarikat sedang diasak oleh kenaikkan harga petrol – 3.50 dollar satu gelen.

Untuk para pengguna, ini adalah satu harga yang amat tinggi dan mereka berharap pertemuan ini dapat membawa berita penurunan harga minyak. Hasilnya adalah kosong. Putera Abdullah dan Bush sendiri tidak dapat melakukan apa-apa terhadap kenaikan harga minyak.

Tetapi Bush telah mengeluarkan satu kenyataan – mengarahkan semua tempat simpanan minyak dan janakuasa nuklear wajib dibuat berhampiran dengan kem tentera. Jika tidak diteliti kenyataan ini, mungkin ianya tidak memiliki apa-apa signifikasi. Tetapi bagi saya, kenyataan Bush ini menunjukkan bahan bakar ini semakin berkurangan dan loji simpanan wajib terus dikawal rapi.

Sebenarnya elit politik dunia dan kaum pemodal syarikat multinational telah menyedari hakikat tentang kekurangan minyak dalam dunia hari ini. Mereka telah, sedang dan akan terus bersiap sedia untuk menghadapi potensi ribut taufan kebangkitan orang ramai dan pengguna akibat dari kekurangan minyak.

Elit politik dan pemodal Amerika menyedari kekeringan bahan bakar minyak akan mengakibatkan keruntuhan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi kapitalis ini telah bergantung, berkembang dan dijana selama hampir seratus tahun oleh bahan bakar minyak yang murah. Hari ini bahan bakar yang murah ini telah hampir kering.

Sandiwara 9/11 yang dipentaskan di New York itu sekali imbas dilihat sebagai pengolahan persetujuan untuk menyerang Iraq. Sebenarnya ada satu lagi agenda yang lebih penting. Sandiwara 9/11 juga bertujuan untuk mengolah persetujuan agar Akta Patriot dapat diluluskan tanpa banyak perbincangan di dewan Senat dan di dewan Kongres Amerika.

Akta Patriot ini telah lama dirancang. Tujuan asasnya ialah untuk menghalalkan apa sahaja tindakan elit politik, elit ekonomi dan elit tentera Amerika apabila berhadapan dengan rakyat Amerika ketika kekeringan minyak.

Adakan mogok

Bila saya melihat krisis minyak diesel minggu ini, saya hanya tersenyum kerana ini sebenarnya ini bukan satu krisis. Ini lebih menjurus kepada lawak jenaka. Tuan-tuan empunya syarikat lori dan bas dikatakan ingin menjalankan mogok. Sebenarnya mereka tidak perlu mogok kerana bas dan lori mereka tidak dapat bergerak tanpa diesel. Bagi saya, contoh mogok lori adalah seperti yang pernah dilakukan oleh kesatuan pemandu lori di Perancis.

Mereka membawa lori untuk menutup lebuhraya di Perancis sehinggakan seluruh sistem jalan raya di Eropah tergendala. Ini baru bijak dipanggil mogok. Kalau lori tidak berminyak dan tidak bergerak itu, bukan mogok. Itu lawak jenaka yang ingin dipanggil mogok.

Kenyataan pemimpin PAS itu juga satu lawak kerana masalah yang wujud di sini bukan sistem agihan minyak atau ada tauke Cina menjual minyak tanpa lesen. Ini pandangan dan teknik lama yang selalu diheboh-hebohkan oleh menteri yang menjaga harga ikan atau ayam.

Hujah bengong ini telah selalu sangat kita dengar. Setiap bulan puasa bila sahaja harga ikan, telor atau tepung naik, maka menteri yang bermuka sembab ini akan turun ke pasar untuk menyiasat harga. Untuk kegunaan kamera TV, akan diletakan tanda harga bahan-bahan ini. Jika tiket sandiwara ini tidak dibeli orang ramai, maka akan ditangkap satu dua orang tauke Cina sebagai contoh.

Kempen cara ini telah lama basi. Krisis minyak bukan saperti ini. Krisis bahan bakar minyak yang akan datang ini akan merentap runtuh sistem kapitalis. Jika minyak telah kering, sepuluh papan tanda harga yang dipacakkan pun tidak akan memberi apa-apa makna. Malah bergantang-gantang duit pun tidak akan berkemungkinan dapat membeli segelen minyak.

Saya sebagai pendakwah dataran puncak minyak berpendapat bahawa sistem ekonomi kapitalis yang berdasarkan permintaan, pengeluaran dan pembaziran ini, tidak dapat lagi dipertahankan. Contoh pembaziran terbaik ialah sistem kereta pensendirian. Ini adalah sistem pengangkutan yang amat membazir. Sebuah kereta dengan seorang di dalamnya adalah sistem pengangkutan yang tidak efisen dan pengunaan bahan bakar minyak yang tidak berbaloi.

Jika kita membeli ayam, limau, ikan atau beras dari Siam – ini adalah cara pengurusan sistem agihan makanan yang tidak masuk akal dan membazir. Mendatangkan burger dari Amerika Syarikat untuk kedai makan cepat MacDonald di Kuala Lumpur adalah pembaziran bahan bakar minyak. Nisbah ukuran bahan bakar yang digunakan untuk membawa bahan-bahan ini amat jelas tidak berbaloi – berbanding jika kita sendiri menanam dan mengusahakan kawasan pertanian yang berhampiran dengan kawasan pemasaran dan pengunaan.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah gaya hidup konsumer yang dijana oleh sistem ekonomi kapitalis ini adalah satu sistem ekonomi pembaziran. Sistem ini tidak mungkin lagi dapat dipertahankan kerana ianya sedang nazak. Penjana utamanya – minyak petrol – semakin berkurangan dan akan kering.

Pada hemat saya, kita wajib melakukan satu anjakan paradigma untuk mengalih gaya hidup yang kita gunakan hari ini. Tetapi sebelum anjakan ini dapat dilakukan, kita wajib bersedia menerima hakikat bahawa bahan bakar minyak telah berkurangan dan akan kering tidak lama lagi. Kekeringan ini akan berlaku dalam jangka hayat kita. Jika hakikat ini telah dapat diterima, maka ada kemungkinan anjakan ini dapat kita lakukan bersama.

Kekurangan minyak diesel minggu ini wajib membuka wacana secara meluas tentang bahan bakar minyak. Para akademia, para pemikir, kumpulan NGO dan warga yang bertanggung jawab perlu mengeluarkan pandangan tanpa takut atau ditakut-takutkan. Perbincangan tentang kekurangan minyak lebih mengasak daripada berimamkan Aminah Wadud atau daripada berahi goyangan punggung Inul.

Kekeringan minyak adalah malaikat maut yang akan merentap nyawa sistem ekonomi kapitalis. Apabila ianya sampai nanti kekurangan diesel minggu ini akan sama-sama kita diingati sebagai malam minggu di Zouk.

Minyak dan gaya hidup

Posted: April 29, 2005

1 Comment »

The URI to TrackBack this entry is: http://sajakkini.blogsome.com/2005/04/29/minyak-dan-gaya-hidup/trackback/

  1. […] ari Pengguna Tertipu, 5 Mei 2005. ‘Minyak sudah habis’ Minggu lalu saya telah menulis bahawa harga minyak akan naik lagi. Belum pun sampai satu minggu, ramalan […]

    Pingback by Sajakkini :: Minyak : mengolah persetujuan :: May :: 2005 — June 16, 2005 @ 11:47 am

RSS feed for comments on this post.

Sila Mengulas

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>