Ahli Parlimen: Menghina diri atau dihina?

Lee Ban Chen

Kata yang bijaksana: Seseorang itu selalunya menghina dirinya terlebih dahulu sebelum dirinya dihinakan orang lain.

Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz diminta memberi komen mengenai kontroversi yang ditimbulkan oleh sebuah artikel dalam NST tulisan Zainul Ariffin yang bertajuk “Our MPs are not ready for prime-time TV”, beliau berhujah:

“Anggota-anggota Parlimen hanya mengundang kritikan apabila membangkitkan perkara-perkara bodoh dan tidak relevan dalam persidangan Dewan. Kalau tiada isu jangan hentam sahaja. Lebih baik diam dan biar orang kata bodoh daripada kita bercakap dan orang sahkan kita bodoh.”

Hujah ini mirip dengan falsafah ‘menghina diri sebelum dihina orang’ seperti yang tersebut di atas, walaupun Nazri berkata, ia adalah ajaran ayahnya. Dan apabila didesak dalam Dewan Rakyat, beliau kemudian terpaksa mengaku bahawa semua ahli Parlimen adalah “bijak” belaka!

LEE BAN CHEN, yang dilahirkan di Johor, pernah diusir dari Singapura oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1966. Pasa masa itu, Ban Chen sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Nanyang. Beliau juga pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun dari 1967 kerana terlibat dalam pemogokan petani di Ladang Bukit Asahan, Melaka and Ladang Triang, Pahang. Ban Chen juga pernah bertugas sebagai editor di akhbar Sin Chew Jit Poh selama satu tahun pada 1976.

Tidak dapat dinafikan, ahli-ahli Parlimen cuba menjadi polis fesyen – sama ada berdebat mengenai kebaya pramugari MAS yang terlalu ketat, atau menyaran agar dadah dibekal dengan percuma, atau pelakon penumpang keretapi dalam iklan Kempen Berbudi Bahasa yang menjejaskan imej orang Melayu, atau mengenai baik buruknya poligami seperti dalam sidang Parlimen kali ini.

Atau saling mendakwa dirinya sebagai “Hindu yang lebih tulen”, malah mengajak lawan politiknya bertumbuk di luar Dewan Parlimen seperti yang pernah berlaku suatu masa dahulu – seperti yang diceritakan oleh Zainul – dan banyak lagi salahlaku anggota-anggota Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, yang boleh digolongkan sebagai perbuatan “bodoh”.

Salah siapa?

Jika hal-hal yang bodoh dan tidak relevan ini sering berlaku, dan jika ianya dilaporkan dalam media, dan ahli-ahli Parlimen terbabit berasa diri mereka telah dihinakan, maka siapakah yang patut disalahkan – diri mereka atau pihak media?

Mengikut Hansard yang dilampirkan oleh Lim Kit Siang sendiri, dari awal-awal lagi beliau telah berkata, saya petik: “Ada sesiapa yang baca kolum ini tentu tau, menghinakan ahli parlimen!”

Selepas anggota Parlimen BN-Beluran Ronald Kiandee bersetuju bahawa rencana itu menghina seluruh anggota Parlimen, Kit Siang pula cuba mencabar: “Kalau Yang Behormat rasa ini menghinakan Parlimen, kita perlu bertindak. Tak boleh diam-diam menerima kelakuan ini… . Kalau kita rasa ini meghinakan ahli Parlimen, kita rujuk kepada Committee of Privileges. Rela?”

Yang lebih penting, Kit Siang telah mengatakan, “Dan soalan yang lebih tepat ialah adakah penulis ini, Zainul Arifin, mungkin dia bukan sahaja ada hak tetapi dia betul? He is in the right untuk menghinakan ahli Parlimen oleh kerana kelakuan ahli Parlimen menghinakan sendiri? Is he right? Kalau dia silap, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional perlulah, kita, all right, rujuk dia kepada Committee of Privileges!
Tambah beliau:“Relakah merujukkan Zainul Arifin kepada Committee of Privileges oleh kerana penulisannya menghinakan ahli-ahli Parlimen? Atau kita guity conscious, apa dia tulis betul.”

Jelas sekali, Kit Siang bukan bodoh, tetapi terlalu “bijak”sehingga cuba mahu mengacah-acah ahli-ahli Parlimen BN supaya bersetuju untuk merujukkan Zainul Arifin kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen agar mereka terpaksa berhadapan dengan media dan terdedah bahawa merekalah yang menghinakan diri mereka sendiri!

Jika ahli-ahli BN tidak berani menerima cabaran Kit Siang, maka terbukti pula mereka mempunyai ‘guilty conscience’ (perasaan bersalah), yang juga amat memalukan!

Sudah pasti ahli-ahli Parlimen BN tidak akan termakan umpan Kit Siang dan NST tentu pula berterima kasih kepada ahli-ahli Parlimen BN yang enggan merujuk wartawannya kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen, sama ada kerana “perasaan bersalah” ataupun tidak.

Terkena jerat sendiri

Dalam keadaan ini, Kit Siang menjadi begitu terpencil dan terserlah mahu merujuk Zainul Arifin kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen, suatu tindakan yang membelakangi prinsip media bebas yang diperjuangkannya selama ini!

Kit Siang memang seorang ahli Parlimen veteran yang mahir dalam percaturan dan muslihat politik, baik di dalam maupun di luar Dewan Rakyat. Ini bermakna kali ini, Kit Siang sudah terperangkap oleh jerat yang dipasangnya!

Daripada analisis di atas, nyata sekali Kit Siang sudah menang dalam pusingan pertama dalam mencabar ahli-ahli Parlimen BN supaya merujukkan Zainul Arifin kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen, kerana mereka tidak berani menerima cabarannya.

Tetapi sebaliknya, kemenangannya ini menjadikan beliau kelihatan begitu terpencil dan agresif kerana berulangkali mendesak supaya wartawan NST yang tidak bersalah itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen, suatu tindakan yang bertentangan dengan prinsip media bebas. Kit Siang terlalu “bijak”sehingga kehilangan prinsipnya.

Nazri sendiri telah mengesahkan ada kalangan ahli Parlimen kita yang “bodoh”, dan lebih teruk lagi apabila mereka tidak sedar tentang kebodohan mereka sehingga menjadi bahan guranan media.

Bagaimana pula prestasi NST? Saya rasa tidak semestinya mereka tidak mengerti tujuan utama Kit Siang untuk mendedahkan “kebodohan” ahli-ahli Parlimen terbabit, tetapi sebagai media perdana yang menjadi agensi kerajaan, mereka lebih berani mengkritik Kit Siang, apatah lagi kali ini muslihat politik Kit Siang telah ‘makan tuan’.

Pendek kata, ahli-ahli Parlimen dan media kita, kedua-duanya memerlukan reformasi, agar ahli Parlimen kita menjadi lebih unggul dan media menjadi lebih profesional dan bebas.

Ahli Parlimen: Menghina diri atau dihina?

Posted: April 27, 2005

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://sajakkini.blogsome.com/2005/04/27/ahli-parlimen-menghina-diri-atau-dihina/trackback/

Belum ada Ulasan Lagi.

RSS feed for comments on this post.

Sila Mengulas

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>