Zainul menjolok, ‘badut Parlimen’ melenting
Aman Rais
Seorang wartawan kanan akhbar NST, Zainul Ariffin menjadi sasaran beberapa ahli Parlimen minggu lalu. Ini gara-gara tulisannya yang mengkritik ahli Parlimen kerana gagal berhujah dengan bernas di Dewan Rakyat. Rencana Zainul bertajuk “Our MP are not ready for prime time TV” telah dihentam kuat oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dan tiga ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Kit Siang menyifatkan tulisan Zainul yang mengatakan ahli Dewan Rakyat suka bercakap mengenai isu-isu bodoh, remeh-temeh, tidak relevan dan kurang membuat “homework” sebagai tidak adil dan menghina Parlimen. Beliau mahu wartawan itu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
Nampaknya begitu mudah ahli-ahli Yang Berhormat (YB) kita melenting dan melatah apabila dijolok dengan kritikan yang mendedahkan kelemahan mereka. Bukan sahaja wakil rakyat BN yang terlalu “sensitif dan manja”, malah “orang tua” di Dewan Rakyat, iaitu Kit Siang, juga berperangai begitu.
|
Selama ini orang ramai menganggap wakil rakyat pembangkang bersikap terbuka, suka ditegur dan dikritik, tetapi nyata sekali tanggapan itu meleset. Nampaknya Ketua Pembangkang juga terasa pedas tulisan Zainul itu. Adakah beliau juga sudah tergolong dalam kumpulan “pak lawak-pak lawak“ di Parlimen?
Sepatutnya Kit Siang mengalukan-alukan kritikan membina wartawan berkenaan, bukannya mengesyorkan beliau dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen. Jelas sekali Kit Siang telah hilang pertimbangan dan rasionalnya apabila meminta orang yang bukan ahli Parlimen dihadapkan ke jawatankuasa tersebut.
Adakah Kit Siang sudah terlupa jawatankuasa itu hanya boleh memutuskan sesuatu perkara jika ia membabitkan ahli Parlimen? Atau mungkinkah tokoh DAP itu sudah terlupa perjuangannya yang memperjuangkan kebebasan media, hak berkarya dan bersuara selama ini?
Tak buat ‘kerja rumah’
Sebenarnya apa yang dikritik itu adalah satu kebenaran. Para YB perlu mengakui kelemahan dan kepincangan mereka itu. Bukan perkara pelik apabila kita mendengar ahli Parlimen membangkitkan isu pakaian seragam ketat pramugari MAS atau mengkritik iklan kempen budi bahasa yang menonjolkan sikap tidak bertimbang rasa pemuda Melayu dalam LRT.
Perkara-perkara yang tidak relevan dan dangkal seperti mengesyorkan kerajaan memberikan dadah percuma kepada penagih dadah, juga dibawa ke Parlimen.
Selain itu, para YB terutamanya wakil-wakil BN sering kali tidak membuat “kerja rumah”, bangun sekadar bercakap tanpa fakta dan data.
Hujah yang dikemukakan terlalu lemah dan kadangkala menonjolkan kedangkalan diri sendiri.
Kadangkala ada YB yang bangun mencelah atau meminta laluan sekadar untuk membuat lawak atau menghentam pihak lawan. Seringkali juga perkataan kasar dan berbaur lucah dilepaskan.
Itulah standard sebahagian besar perbahasan di Dewan Rakyat kita. Maka memang tepat apabila Zainul menyimpulkan para YB negara ini tidak layak untuk ditampilkan di berita perdana TV.
|
Namun, kita tidak menafikan adanya sebilangan ahli Parlimen terutamanya di kalangan wakil pembangkang yang bagus, yang pandai berhujah dan sentiasa membuat persediaan.
Yang menariknya mereka ini tidak melatah apabila tulisan Zainul itu disiarkan. Wakil Kubang Kerian, Sallehuddin Ayub dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebaliknya mahu akhbar-akhbar memberi ruang lebih besar kepada perbahasan di Dewan Rakyat, bukan tertumpu pada sesi soal-jawab sahaja.
Sewajarnya para “pak lawak” di Parlimen mencontohi sikap positif mereka itu. Sudah tiba masanya bagi ahli Parlimen menganggap tugas di Dewan Rakyat suatu yang serius, bukan sekadar mencukupkan kuoram atau datang bercuti di Kuala Lumpur.
Mutu perbahasan rendah
Para ahli Parlimen harus ingat mereka dihantar ke Parlimen oleh para pengundi bagi memperjuangkan suara dan hak rakyat. Mereka tidak dipilih sekadar untuk menjadi “backbenchers” untuk menyokong setiap usul atau rang undang-undang tanpa membahaskannya dengan teliti dan bernas.
Mereka perlu sedar, masyarakat sekarang berpendidikan tinggi dan terdedah kepada segala maklumat. Rakyat sekarang tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka. Rakyat tahu wakil rakyat mana yang membisu dan tidur di Parlimen, siapa yang suka menjadi badut dan YB mana yang setiap kali berbahas, lengkap dengan segala nota, fakta dan datanya.
Bagaimana wakil rakyat mahu mengharapkan akhbar memberikan dua muka surat untuk perbahasan di Parlimen kalau mutu perbahasannya lebih rendah daripada perbahasan budak sekolah menengah?
Untuk dihargai, dihormati dan diterima oleh khalayak pembaca, penonton atau pendengar, maka mutu perbahasan mestilah bernas dan mampu mencabar minda. Jangan salahkah akhbar apabila liputan perbahasan tidak dibuat. Jangan marah wartawan kalau mereka lebih berminat melaporkan perkara “human interest” yang berlaku di Parlimen kerana itu sebenarnya yang dikehendaki oleh para YB.
Memegang kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz; “ ….jangan cakap sesuatu yang tidak relevan, kalau kena kritik, itu adalah permintaan anda sendiri…”

