Seperti mencampak bunga, dibalas dengan tahi…
Lee Ban Chen
Mengikut yang empunya cerita, Raja rimba (Sang singa) yang terlalu tua dan uzur hanya mampu menangkap seekor anak kambing hitam yang sedang minum air dari sebatang sungai, dan hendak dijadikan makanannya. Maka berlakulah dialog berikut:
Anak kambing hitam: Ampun beribu-ribu ampun Tuanku, patik hanya minum air dari sungai, kenapa patik patut dihukum mati?
Raja rimba: Kerana engkau sudah mengotori air minuman beta.
Anak kambing hitam: Tetapi patik minum di hilir sungai, tak mungkin mengotori air minuman Tuanku di hulu sungai!
Raja rimba: Jika begitu, kerana anak beta dimakan ayah kau.
|
Anak kambing hitam: Itu pun tak mungkin, kerana kami kambing hanya makan rumput, tak makan daging.
Raja rimba: Ah beta sudah ingat, nasib rumput dimakan kambing, dan nasib kambing dimakan beta, demikianlah undang-undang rimba yang cukup adil sekali!
Perdebatan mengenai rasuah
Keadaan malaysiakini sekarang seolah-olah umpama si kambing hitam yang malang tersebut. Usikan sempena April Fool sudah menjadi matlumat palsu berniat jahat untuk menipu, seperti kambing hitam minum air di hilir sungai mengotori air di hulu sungai, atau anak raja rimba dimakan bapa kambing hitam yang hanya makan rumput!
Usikan adalah usikan, ia bertujuan untuk mengusik bukan untuk menipu. Jika sesuatu usikan itu tidak disambut baik, ia hanya merupakan usikan yang gagal mencapai tujuannya, namun sifatnya sebagai usikan tidak akan berubah. Begitu jugalah halnya dengan penipuan, walaupun ia dipercayai, ia masih merupakan penipuan.
Alasan yang diberi oleh pihak malaysiakini bahawa tujuannya hanya untuk menimbulkan perdebatan mengenai masalah rasuah di negara kita, memang masuk akal dan dapat diterima oleh sesiapa yang tidak berprasangka, kerana jika buat seketika “tertipu” oleh matlumat kononnya tiga orang menteri dan seorang menteri besar akan didakwa atas tuduhan rasuah, apakah kesudahan atau impak segeranya?
Rasanya ada beberapa kemungkinan:
- Membangkitkan hasrat seseorang untuk mengetahui gerangan siapakah empat ekor ikan paus terbabit, maka ia akan tertarik untuk membaca sambungan cerita yang mendedahkan jawapan bahawa ia hanyalah satu usikan sempena April Fool! Pembaca terbabit menjadi April Fool, di samping terhibur, ia mungkin memikir sejenak tentang apa telah jadi dengan janji PM hendak memerangi rasuah.
- Jika iya seorang menteri atau menteri besar yang rasuah atau sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), maka dia tentunya seperti disambar petir. Setelah mengetahui ia hanya satu usikan, sudah tentu dia tidak akan memaafkan pengusik yang dianggap memusuhinya.
- Jika dia seorang perasuah atau kroni perasuah, dia juga akan merasa gentar dan amat marah selepas mengetahui dia telah diusik oleh mereka yang memusuhinya.
- Mereka yang menyokong dasar anti-rasuah seperti yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentu amat gembira kerana akhirnya janji telah dikotai! Setelah mengetahui ianya satu usikan, mereka akan memikirkan perkara ini secara lebih mendalam, sama ada kerajaan serius memerangi rasuah atau sebaliknya.
Membalas dendam
|
Ini suatu ujian kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) amnya dan Perdana Menteri khasnya, sama ada ianya serius untuk memerangi rasuah. Jika jawapannya positif, maka usikan amat bermakna ini tentu akan ditoleransi memandangkan ia memberi pukulan kepada golongan perasuah dan kroni-kroninya di satu pihak, dan memberi sokongan dan desakan kepada kerajaan supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang disiasat dan didapati sabit kesalahan mereka.
Kita mesti tidak melupai bahawa memantau dasar kerajaan yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara, seperti dasar memerangi rasuah, merupakan salah satu fungsi media yang mustahak. Melainkan usikan terbabit telah mengakibatkan pembocoran rahsia atau maklumat sulit negara yang akan mengancam keselamatan negara, atau bersifat fitnah di sisi undang-undang, maka kerajaan tidak patut menggunakan kuasa pentadbiran untuk menganiayai atau membalas dendam terhadap media yang tidak disukainya, seperti malaysiakini.
Jika malaysiakini diambil tindakan seperti gertakan menteri berkenaan, maka ianya bukan kali pertama malaysiakini ditindas dan dikasari melalui undang-undang rimba negara kita. Ia juga merupakan suatu pukulan lagi kepada media alternatif yang kian berwibawa kerana secara konsisten memperjuangkan kebebasan media dan berani memantau dasar kerajaan, seperti dasar memerangi rasuah melalui usikan April Fool .
Jika kerajaan tidak ada semangat bergurau dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap malaysiakini walaupun motifnya baik, maka usikan malaysiakini kali ini umpama mencampak bunga, dibalas dengan tahi!
Ia bukan saja menghampakan media yang ingin berbakti kepada rakyat dan negara, ia juga akan menghampakan rakyat majoriti yang menyokong Perdana Menteri untuk bersungguh-sungguh memerangi rasuah.
Jika tindakan diambil terhadap malaysiakini seperti yang digertakkan, maka bukan malaysiakini saja yang akan menjadi “kambing hitam”, yang turut terhina tentulah mereka yang mulutnya berderai-derai berkokokkan slogan memerangi rasuah, tetapi ekor bergelumang dengan tahi!
Jika Perdana Menteri iklas dan tegas mengenai dasar memerangi rasuah, beliau wajar membuat sesuatu untuk meredakan “ribut dalam cawan” sekarang, kerana gurauan tetap gurauan, sama ada ia disambut baik atau dibenci!

