Rebranding - jangan sekadar pada kulit!
Aman Rais
Perkataan yang “in” ketika ini ialah “rebranding”. Makna mudahnya dalam bahasa Melayu ialah “penjenamaan semula”. Sedap bunyinya, ramai orang suka menyebutnya. Pak menteri, tokoh politik, tokoh korporat hingga kepada orang kampung dan kanak-kanak sekolah menyebutnya ketika ini.
Semua orang hendak buat penjenamaan semula. Untuk menonjolkan imej baru, meningkatkan keberkesanan kerja dan operasi serta menambahbaikkan produk. Terima kasih kepada Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir kerana mempopularkan istilah ini sejak menerajui kementerian berkenaaan lebih setahun lalu.
Beliau nampaknya bersungguh-sungguh mahu mengubah RTM. Mahu menjadikannya badan penyiaran berwibawa. Sejak Kadir masuk, logo RTM diubah wajah, para pembaca berita yang jelita dibawa masuk dan beberapa program baru diperkenalkan.
|
Tidak cukup dengan itu, beberapa program seperti Salam Pantai Timur, Bicara Siswa dan sebagainya, diberi nafas baru. Paling menonjol ialah Debat Perdana, satu usaha berani menyiarkan perbahasan antara tokoh politik dan ahli akademik secara langsung.
Moto RTM juga ditukar kepada “pertama di lokasi, pertama di udara”. Malangnya dalam melaporan berita gempa bumi di Pualu Nias baru-baru ini, RTM tidak menepati moto tersebut. Ia ketinggalan di belakang NTV7.
Kontroversi RIMA
Penjenamaan semula di radio juga dilakukan. Stesen-stesen radio RTM telah ditukar nama. Konsep penyiaran juga diubah menjadi stesen interaktif. Kini, kita ada nama baru, antaranya radio Nasional FM dan KL FM. Tetapi yang paling menonjol ialah Klasik FM.
Klasik FM atau nama lamanya RIMA, telah menjadi satu isu kontroversi hingga mengundang campurtangan Perdana Menteri dan timbalannya. Jangan salahkan para pemimpin ini apabila mereka campurtangan mahukan konsep Klasik FM kembali kepada persembahan RIMA yang lama. Mereka semua orang veteran yang meminati lagu-lagu Melayu asli.
Datuk Seri Rais Yatim telah “terseksa” apabila Klasik FM dijadikan stesen “rojak”. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob telah memboikot stesen radio ini kerana lagu-lagu kegemaran sudah jarang ke udara. Begitu besar pengaruh RIMA di kalangan “orang-orang lama”. Akhir Menteri Penerangan mengalah. Klasik FM kembali ke konsep asal, namun nama baru dikekalkan.
Begitulah kisah ‘rebranding’ di RTM. Penuh kontroversi tetapi jika teliti setiap hari, sebahagian besar operasinya masih di takuk lama. Baru pada kulit, sedangkan isinya masih seperti dulu.
Yang turut mengikut
Selepas RTM kita dengar pula beberapa organisasi lain mengikut jejaknya. Semua hendak buat penjenamaan semula. Pemuda Umno, Puteri Umno dan Telekom Malaysia turut mahu lakukan ‘rebranding’.
Kini logo syarikat telekomunikasi nombor satu negara itu telah diubah. Telekom Malaysia kini mahu dikenali dengan nama TM sahaja. Pengurusan syarikat itu berpendapat TM lebih global bunyinya.
Kononnya bunyi yang lebih global ini sesuai dengan operasi dan agenda syarikat itu untuk menakluki pasaran dunia. Tambahan pula ia telah mengembangkan operasi ke beberapa negara Asia lain dan Afrika.
Pihak pengurusan mahu nama syarikat ini membawa satu jenama global seperti syarikat multi nasional lain, umpamanya BP, IBM, BMW dan sebagainya. Semoga TM berjaya dalam usahanya ini.
Namun penjenamaan semula ini perlu juga ditekankan pada mutu perkhidmatan dalam negeri bagi memastikan pelanggan terbesar TM mendapat faedah maksium dari wang yang mereka bayar.Tumpuan perubahan atau ‘rebranding’ mesti seimbang. Jangan kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan!
‘Rebranding’ Umno
Turut terpengaruh dengan kempen penjenamaan semula Kadir itu ialah Pemuda Umno. Kini Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalannya, Khairy Jamaluddin (KJ) kerap menyebut istilah itu.
Kedua-dua tokoh muda ini mahu mengubah Pemuda Umno menjadi sebuah badan yang pro-aktif. Setakat ini usaha itu nampaknya berjalan lancar. Buktinya, pergerakan itu begitu aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan di Aceh dan membela nasib golongan kurang bernasib baik di negara ini.
Selain itu Pemuda Umno juga sedang menyusun pergerakan Putera Umno. Ia juga telah melancarkan pogram Pintar 2005 bagi membantu menangani masalah graduan menganggur.
KJ baru-baru ini menyatakan proses penjenamaan semula Pemuda Umno adalah satu cabaran besar. Katanya, ia adalah satu program yang digerakkan, bukannya program yang “superficial”.
Menantu Perdana Menteri ini tidak mahu penjenamaan semula pergerakan itu hanya pada nama sahaja sedangkan isinya tetap lama. Menurutnya, ‘rebranding’ Pemuda bukan sekadar memperkenalkan logo atau baju baru, tetapi membawa budaya dan pendekatan baru.
Puteri Umno juga nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam membuat perubahan. Di bawah barisan kepimpinan baru, ia seperti mahu menyaingi perubahan dan aktiviti yang dilakukan oleh abangnya, Pemuda Umno.
Pergerakan itu turut aktif dengan aktiviti kemanusiaan di dalam dan luar negara. Melancarkan program peningkatan panguasaan bahasa Inggeris di luar bandar dan paling baru ia memperkenalkan program “Jom Baca”.
Nyata, Pemuda dan Puteri Umno sedang membawa beberapa nilai tambah dalam operasi mereka, bukan sibuk dengan “politicking” sahaja. Begitulah adanya, sekali tsunami melanda, sekali pantai berubah. Naik orang baru, maka akan diperkenalkan program, dasar dan wawasan baru.
Kadir sibuk dengan kementerian barunya, Datuk Wahid dengan TMnya, KJ dan Noraini Ahmad dengan Pemuda dan Puterinya.
Agenda tersendiri
Masing-masing ada wawasan dan agenda sendiri. Tidak perlu dipertikaikan apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Jangan memandang serong tindakan mereka kerana sudah menjadi kelaziman manusia mahu meninggalkan bekas di tempat ia berdiri.
Cuma yang menjadi persoalan sejauh manakah berkesan dan berfaedahnya agenda atau wawasan seseorang itu?
Adakah ia sekadar pada logo dan slogan atau benar-benar berjaya menyuntik perubahan. Untuk melihat hasil agenda atau program penjenamaan semula itu, langkah paling baik ialah memberi peluang dan masa secukupnya kepada para pemimpin atau pengurus berkenaan.
Lebih baik kita menyokong dan membantu kalau usaha itu mendatangkan kebaikan daripada mengkritik dan memandang sinis!
Buang sikap negatif yang ada dalam diri. Mari kita berfikir secara positif. Nampaknya semua orang perlukan penjenamaan semula!

