Dasar BI: Berpatah balik sebelum terlambat…

Lee Ban Chen

Dalam Kongres Pendidikan Melayu Kedua (KPM2) anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM) pada 26 dan 27 Mac 2005 di Kuala Lumpur, didedahkan bahawa setengah juta pelajar Melayu akan tercicir jika program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan.

Justeru itu, sidang pleno kongres tersebut, sebulat suara meminta supaya kerajaan menghentikan pelaksanaan PPSMI dan kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk semua subjek, termasuk di universiti.

Pendedahan menggemparkan itu dan rumusan tegas KPM2 meminta dihentikan pelaksanaan PPSMI, memberi impak yang begitu besar sekali sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju untuk mengkaji semula program tersebut.

LEE BAN CHEN, yang dilahirkan di Johor, pernah diusir dari Singapura oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1966. Pasa masa itu, Ban Chen sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Nanyang. Beliau juga pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun dari 1967 kerana terlibat dalam pemogokan petani di Ladang Bukit Asahan, Melaka and Ladang Triang, Pahang. Ban Chen juga pernah bertugas sebagai editor di akhbar Sin Chew Jit Poh selama satu tahun pada 1976.

Namun, tidak sampai seminggu selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, merangkap ketua Biro Pendidikan Umno berkata, sebarang langkah kembali untuk kepada dasar lama itu, tidak boleh dilakukan secara ad-hoc, Tun Dr Mahathir Mohamad, mentor politik Najib dan bekas perdana menteri yang memperkenalkan dasar tersebut, juga tampil mempertahankan dasar yang dipertikai itu (sila merujuk Rencana, Utusan Malaysia 29 Mac 2005).

Belum sempat lagi kajian semula yang dijanjikan Perdana Menteri Abdullah itu dimulakan, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein lantas mengambil pendirian menyokong Mahathir dan Najib (sila merujuk Wawancara, Mingguan Malaysia, 3 April 2005), lalu diisytiharkan bahawa PPSMI akan diteruskan sehingga tahun 2007 dan selepas itu barulah kajian semula akan dibuat.

Jika keputusan untuk mengkaji semula PPSMI atas desakan KPM2 boleh dianggap sebagai tindakan secara ad-hoc, maka pelaksanaan program tersebut oleh Dr Mahathir tiga tahun lalu tentu lebih bersifat ad-hoc. Malah pembatalan keputusan untuk mengkajinya semula juga sama sifatnya. Jika diteliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh Dr Mahathir dan Hishammuddin dalam wawancara mereka baru-baru ini, banyak juga yang boleh disifatkan sebagai ad-hoc!

Menurut Hishammuddin, PPSMI bertujuan untuk melahirkn generasi yang mampu berfikir dan melahirkan idea berkaitan sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, selain berkebolehan membentangkan idea-idea mereka itu dengan fasih dalam bahasa berkenaan.

Malah, Dr Mahathir menganggap di zaman ini, bahasa Inggeris sudah jadi bahasa universal, semua ilmu terdapat dalam bahasa Inggeris (Hishammuddin mengatakan lebih 80 peratus ilmu pengetahuan dalam Internet menggunakan bahasa Inggeris).

Bahasa lain tidak layak?

Tambah Dr Mahathir lagi, kita boleh menguasai ilmu secara langsung melalui bahasa Inggeris, dan melalui penggunaan bahasa Inggeris, ia akan difahami oleh majoriti manusia.

Mengikut logik Dr Mahathir, bukan saja bahasa Melayu, Cina dan India, malah semua bahasa selain daripada bahasa Inggeris – baik bahasa Jerman, bahasa Perancis atau bahasa-bahasa Eropah, bahasa Arab, bahasa Jepun atau bahasa-bahasa Asia, Afrika dan Latin Amerika – kesemuanya tidak layak menjadi bahasa pengantar.

Bukan saja dalam matapelajaran sains dan matematik, tetapi juga dalam subjek-subjek lain, kerana mengikut teori Dr Mahathir, semua bahasa lain memang tidak seuniversal dan sepenting bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.

Namun jika ditinjau dari perspektif sejarah, kita mengetahui bahasa Cina, bahasa Arab dan bahasa Jerman juga, pada suatu ketika dahulu, merupakan bahasa ilmu, termasuk sains dan teknologi, tetapi pernahkah bahasa-bahasa lain dinafikan peranan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara-negara yang terbabit?

Tiada sesiapa yang menafikan kepentingan bahasa Inggeris dalam bidang pengetahuan, terutamanya sains dan teknologi, dan keperluan untuk menguasainya sebagai bahasa kedua atau bahasa asing.

Namun, jika kerana kepentingan bahasa Inggeris pada zaman ini, maka ia dianggap sebagai bahasa universal atau bahasa ilmu, dan bahasa-bahasa bangsa lain dianggap sebagai bukan bahasa ilmu, dan tidak layak menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara terbabit, maka tidakkah ini mirip dengan teori penaklukan/hegemoni kuasa besar?

Jika bahasa Inggeris terlalu diagung-agungkan sehingga generasi baru kita kelak akan menuntut ilmu dan dididik melalui bahasa asing itu, maka di manakah kedaulatan bahasa kebangsaan negara kita dan bahasa-bahasa ibunda bangsa-bangsa yang lain?

Bagaimana pula jati diri Malaysia jika generasi baru kita dididik melalui bahasa asing yang terlalu diagung-agungkan itu, meskipun negara kita sudah hampir setengah abad mencapai kemerdekaan?

Belajar dari pengalaman DJZ!

Jika bahasa kebangsaan bahasa Cina dan bahasa India dianggap tidak layak menjadi bahasa pengantar sains dan matematik walaupun di sekolah rendah dan sekolah menengah, maka di mana pula nilai bahasa-bahasa terbabit? Dan bagaimana pula ianya akan dipandang berat dan ditingkatkan nilai penggunaan?

Bila ditanya mengenai kajian yang dibentangkan dalam KPM2 yang mendapati setengah juta pelajar Melayu akan tercicir dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, Hishammuddin mengaku beliau masih belum lihat kajian itu, tetapi sudah mencapai kesimpulan bahawa ia cuma satu andaian, seperti yang dianggap oleh pegawainya.

Namun, menurut kajian Dong Jiao Zong (DJZ) sebelum ini, pelajar SJKC yang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah kebangsaan – akibat penukaran bahasa pengantar dari bahasa ibunda/Cina kepada bahasa kebangsaan/Melayu – kira-kira 50 peratus sahaja yang akan lulus dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan yang akan lulus dalam pepereksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tinggal kira-kira 25 peratus sahaja.

Jika berdasarkan kepada keciciran 75 peratus pelajar Cina itu – akibat penukaran bahasa pengantar – maka bukanlah sesuatu yang mustahil dan menghairan apabila setengah juta pelajar Melayu keciciran akibat pelaksanaan program PPSMI. Hishammuddin tidak patut menganggap hasil kajian terbabit sebagai cuma satu andaian sahaja.

Padahal, DJZ amat berpengalaman dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Ramai sekolah menengah swasta gagal dalam percubaan yang sama atas hujah-hujah yang seakan-akan serupa. Akhirnya mereka terpaksa berpatah balik menggunakan bahasa Cina/ibunda sebagai bahasa pengantar untuk meningkatkan pencapaian akademik.

Pengalaman pahit inilah yang menyebabkan DJZ menentang program PPSMI, dan berkali-kali meminta untuk bertemu Perdana Menteri Abdullah bagi menceritakan pengalaman pahit tersebut.

Bagaimanapun permintaan DJZ masih belum diperkenankan hingga sekarang, sungguhpun tiga tahun program tersebut dilaksanakan, dan impak buruk terhadap pelajar Melayu telah disedari dan didedahkan dalam KPM2!

Jika kerajaan BN berkeras untuk meneruskan program tersebut, siapakah yang akan bertanggungjawab jika keciciran besar pelajar tersebut terbukti benar?

Dasar BI: Berpatah balik sebelum terlambat…

Posted: April 6, 2005

1 Comment »

The URI to TrackBack this entry is: http://sajakkini.blogsome.com/2005/04/06/dasar-bi-berpatah-balik-sebelum-terlambat/trackback/

  1. saya sebagai bakal guru yg akan mengajar subjek sains pada masa akan datang tidak bertujuan untuk dasar kerajaan yang telah pun dijalankan ini kerana tujuannya amat jelas untuk meningkatkan tahap kurikulum di negara ini tetapi berdasarkan kajian ringkan yang saya jalankan di sebuah sekolah pedalaman baru-baru ini saya mendapati bahawa murid-murid tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran yang baru mereka ikuti ini.Tidak dinafikan bahawa mungkin ia dialami oleh hanya pelajar yang berada di pedalaman manakala para pelajar yang berada di bandar tidak perlu bimbang tentang ini.ini karana kebanyakkan mereka yang berada di bandar lebih influence dengan english language berbanding mereka yang berada di pedalaman.mereka ini yang berada di kampu-kampung sukar untuk mengaplikasi bahasa-bahasa yang mereka pelajari kerana ibubapa mereka tidak mahir tentang bahasa ini.Sebilangan guru-guru juga ada mencadangkan bahawa progam ini perlu dikaji semula dengan teliti tanpa perlu meninggalkan kurikulum ini kepada para pelajar di pedalaman.mereka ini(pelajar yang berada di pedalaman)tidak mahir dalam bahasa inggeris dan subjek sains itu sendiri.Apakah mereka perlu terus ketinggalan.Saya amat berharap agar perlaksaannya dikaji semula untuk sekolah-sekolah di luar bandar.Menurut sebilangan guru-guru yang terlibat dalam kajian saya ini,mereka menghadapi masalah yang agak besar menjelang peperiksaan.mereka terpaksa menterjemah walaupun arahan-arahan ringkas(dengan kata lain memberi jawapan kepada murid itu)supaya murid-murid dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan itu.Saya mencadangkan agar hanya sebahagian sekolah yang diwajibkan untuk PPSMI.ini bermakna sekiranya ibubapa mahukan nanak-anak mereka mahir dalam bahsa inggeris,mereka akan menghantar anak mereka ini ke sekolah tersebut.Anak-anak ini juga mungkin diberi pilihan untuk ditempatkan ke sekolah tersebut.Dengan kata lain,dia belajar mengikut kemahuan sendiri , tidak dipaksa.Ini tidak bermakan orang-orang kita akan ketinggalan.saya berharap agar kita tidak menjadi’yang dikejar tak dapat,yang dikendong keciciran’.

    Comment by ROSE — August 4, 2005 @ 5:54 am

RSS feed for comments on this post.

Sila Mengulas

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>