Isu penambahan SJKC: Ulasan PM disalahfaham?
Lee Ban Chen
Menurut penjelasan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dr Vincent Lim Kian Tick, ulasan Perdana Menteri pada 14 Mac lalu mengenai cadangan MCA supaya jumlah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) ditambah menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RM-9), telah disalahfahamkan.
Kata Dr Vincent, laporan bahawa “Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan sebarang tindakan untuk menambah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina atau Tamil hanya akan mewujudkan pelbagai sistem dalam pendidikan dan ia tidak baik kepada negara” adalah tidak tepat, kerana yang dirujukkan bukan SJKC, tetapi Sekolah Menengah Bukan-Kerajaan.
Saya tidak faham, jika kenyataan PM tersebut telah disalahfahamkan, mengapa bukan beliau sendiri yang membuat penjelasan kepada semua media. Sebaliknya penjelasan dibuat oleh Setiausaha Politiknya kepada media Cina saja, sedangkan kenyataan tersebut dilaporkan oleh semua media? (PM telah membuat penjelasan sendiri pada Mac 22 apabila ditanya oleh pemberita.)
|
Lebih penting lagi, yang membidas cadangan MCA untuk menambah SJKC di bawah RMK-9, bukan PM seorang saja, tetapi juga beberapa pemimpin Umno yang lain. Jika ulasan PM disalahfahamkan, bagaimana pula ingatan dan kritikan berikut?
- Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi ingatan kepada persatuan-persatuan Cina supaya tidak mengambil kesempatan menghantar memorandum berbentuk mendesak supaya kerajaan menambah bilangan SJKC.
- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, memperbanyakkan SJKC hanya akan membawa kita selangkah ke belakang dalam memperkasa Dasar Pendidikan Negara dan membina masyarakat bersatu-padu.
- Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula membayangkan pendirian Pemuda Umno yang lebih keras. Katanya, mereka tidak setuju dengan cadangan MCA untuk menambahkan SJKC kerana ia bertentangan dengan dasar dan aspirasi kerajaan, dan pergerakan itu akan terus menentang sebarang usaha yang boleh mendorong kepada polarisasi kaum di negara ini. Tegasnya, dasar kerajaan jelas bahawa sekolah kebangsaaan harus menjadi pilihan utama ibu bapa kerana ia merupakan ejen peningkatan integrasi kaum.
Penentangan secara teratur
Kesemua mereka telah menegaskan pendirian masing-masing yang senada dan seirama dengan tokoh akademi atau pemimpin badan Melayu bukan kerajaan tertentu yang disusunaturkan oleh Utusan Malaysia untuk melancarkan kempen menentang cadangan MCA itu.
‘Orkestra’ seperti ini bukan kali pertama, dan tentu juga bukan kali terakhir. Ia akan berulang lagi pada masa yang dianggap perlu, demi kepentingan politik perkauman Umno, terutamanya untuk memesongkan tumpuan orang Melayu daripada krisis dalaman Umno.
Justeru, dalam orkestra anti-penambahan SJKC tersebut, PM diminta untuk mengulas cadangan MCA. Maka tidak hairanlah jika beliau memberi jawapan negatif, sesuai dengan tujuan dan suasana yang disusunatur itu.
Akan tetapi, sebagai seorang politikus veteran, beliau tentu mengetahui impak negatif ulasan beliau itu. Maka cubalah diimbangkan pula dengan sebutan tentang jaminan Akta Pendidikan yang membenarkan pelajar bukan bumiputera/bukan Melayu mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina atau Tamil, dan diharapkan akhirnya mereka bersatu di sekolah aliran kebangsaan.
Nyata sekali impak negatif sudah terjadi, dan tentu bukan dapat diperbaiki dengan penjelasan Setiausaha Politik PM kepada media Cina sahaja, kerana penolakan cadangan menambah SJKC untuk menampung permintaan yang kian bertambah (termasuk 10 peratus pelajar bukan Cina), sudah melukakan hati kaum Cina sebagai warganegara dan pembayar cukai.
Dan alasan yang diberi – malah kempen anti-penambahan SJKC dan bahawa kewujudan SJKC dan SJKT merupakan punca polarisasi kaum di negara kita – ibarat membubuh garam pada luka.
Selama ini, dasar BN tidak menambah SJKC dan SJKT bukan suatu rahsia lagi. Mungkin kerana ia mengingkari jaminan Akta Pendidikan Negara yang membenarkan ibu-bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan (SK) atau ke SJKC dan SJKT, maka dasar haram ini dilaksanakan melalui pihak pentadbiran tanpa diheboh-hebohkan, atau pihak berkuasa berkenaan sering pula berdolak-dalik apabila ia dipersoalkan.
Semangat Barisan Nasional?
Yang ironis sekali ialah kali ini cadangan penambahan SJKC adalah merupakan salah satu rayuan MCA (parti ini tidak berani menuntut yang hak kerana Umno hanya membenarkan rayuan) dalam memorandumnya yang akan dihantar kepada PM sebagai menyambut seruan beliau supaya memberi pandangan terhadap RM-9.
Alangkah lucunya dan memalukan apabila parti komponen kedua terbesar dalam BN yang kononnya “berkongsi kuasa” dengan Umno, terpaksa menghantar memorandum untuk membuat rayuan kepada kerajaan (baca: Umno), meminta sesuatu yang sudah terjamin dalam Akta Pendidikan! Saya sangsi MCA tidak diajak untuk merangka RM-9.
Akhirnya, bukan sahaja cadangan penambahan SJKC – yang sepatutnya tidak menjadi masalah mengikut jaminan Akta Pendidikan negara kita – ditentang secara teratur, malah legitimasi kewujudan SJKC dan SJKT juga dicabar secara langsung, dan sekaligus MCA dibelasah kiri kanan dan tengah!
Selepas puas MCA dibelasah dan kempen anti-SJKC dilancarkan secara besar-besaran, barulah MCA diajak untuk menyelesaikan kontroversi tersebut melalui “cara tertutup ala BN”. Ia tentu dialu-alukan oleh MCA yang tidak tahu apa yang patut dibuat setelah puas dibelasah.
Selepas “salahfaham” dijelaskan dalam perjumpaan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dengan Abdullah, dan janji-janji kosong seperti cadangan MCA untuk menambah SJKC akan ditimbangkan kelak , maka ia akan didakwa sebagai kemenangan bagi “semangat Barisan Nasional” yang sanggup bertolak-ansur dalam bilik tertutup!
Dalam bahagian II rencana ini, saya akan menyentuh bagaimana mekanisme BN telah luput-masa dan tidak dapat berfungsi lagi dalam politik demokrasi dan liberal pada zaman sekarang yang berasaskan masyarakat madani, kesetarafan kaum, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia, dan ketelusan.
Bahagian 2: Perpaduan nasional dalam bahaya

