Datuk datang ke kampung kami 2
Uthaya Sankar SB

Bahagian 2
Tanpa banyak soal, saya memberanikan diri untuk menghampiri sasterawan itu. Gementar juga saya pada mulanya. Masih was-was. Saya masih ingat apa reaksi yang saya terima daripada seorang penulis karya Tamil tidak lama dahulu.
Cerpenis Tamil itu datang sewaktu diadakan ceramah umum bagi kaum India menjelang pilihan raya yang lalu. Dia datang bukan sebagai penceramah tetapi sekadar mengiringi seorang tokoh politik dari Kuala Lumpur.
Kedatangannya itu mahu saya gunakan untuk menimba ilmu tentang penulisan. Lalu saya mendekatinya. Saya memperkenalkan diri dan mula bercakap tentang beberapa karyanya yang pernah saya baca. Dia sekadar mengangguk-angguk. Malah dia tidak memberikan reaksi terhadap komen saya tentang karya-karyanya.
“Macam mana nak usahakan karya kita tersiar di akhbar?” tanya saya kepadanya.
|
“Sukar,” katanya. “Awak jadi pembaca sudahlah. Biar orang-orang sastera macam saya yang tulis cerpen.”
“Tapi, encik … Saya ada hasilkan cerpen Bahasa Tamil dan BAHASA MALAYSIA …”
“Awak ingat senang nak terbitkan karya? Dalam Bahasa Melayu pula! Awak ingat mereka nak siarkan cerpen orang India dalam surat khabar Melayu?”
“Tetapi ada juga penulis kaum India yang berjaya sebagai penulis karya BAHASA MALAYSIA. Antaranya Saroja Theavy dan Uthaya Sankar SB. Karya-karya mereka sudah dibukukan serta sering tersiar di akhbar Mingguan Malaysia dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,” saya membidas.
“Saya rasa kita mampu menghasilkan karya bermutu dalam BAHASA MALAYSIA.”
Respon daripada sasterawan
Terus dia memalingkan muka. Benar. Tidak timbul keperluan untuk saya mengada-adakan cerita ini. Itulah pengalaman peribadi saya berbual dengan salah seorang cerpenis Tamil yang terkenal di negara kita.
Apakah saya akan menerima respon yang sama daripada sasterawan ini?
Demikian fikir saya sewaktu berjalan menghampiri pemuda berusia awal tiga puluhan yang masih terpinga-pinga di pintu masuk dewan.
Saya percaya beliau tidak akan bertindak biadab. Setelah membaca karya-karya beliau selama ini, dapat saya bayangkan bahawa beliau berperibadi mulia. Saya teliti gaya bahasa beliau dalam cerpen dan artikel yang tersiar dalam pelbagai media BAHASA MALAYSIA. Dapat saya lihat ketajaman fikiran – dan kata-kata – beliau. Dapat saya rasakan bahawa beliau benar-benar ingin membimbing bakat-bakat baru dalam bidang penulisan.
Dan saya mahu mendapatkan izin beliau untuk menterjemah karya-karyanya untuk cuba disiarkan di akhbar-akhbar Tamil. Tetapi apakah editor akhbar akan sanggup menyiarkan karya-karya terjemahan itu? Kalaupun tersiar, akan mampukah pembaca mencerna mesej dalam karya-karya beliau yang terlepas daripada kekonvensionalan teknik dan isi?
Saya perhatikan keliling. Orang ramai masih tidak mengendahkan sasterawan itu. Mereka masih berdiri atau duduk dalam kelompok-kelompok kecil dan berbual tentang hal itu dan hal ini. Sempat saya perhatikan seorang lelaki menjadikan bahagian belakang kertas kerja yang diedarkan tadi sebagai tempat menulis – mungkin senarai barangan runcit yang perlu dibelinya.
Ada juga yang menjadikan kertas kerja itu tempat abu rokok. Kanak-kanak pula gembira membuat kapal terbang daripada kertas kerja yang tidak dimanfaatkan oleh ibu bapa mereka. Ada pula yang sekadar menggulung-gulung kertas itu dan kemudian meninggalkannya begitu sahaja di kerusi sebelah.
Pening!
Aduh! Bagaimana kalau penceramah tahu bahawa kertas-kertas yang turut bertaburan di lantai dewan adalah kertas kerja yang dihasilkannya melalui kajian yang mendalam?
Sasterawan berkenaan sudah duduk di kerusi dan sedang membaca sebuah buku sewaktu saya sampai di sisi beliau. Saya duduk di kerusi sebelah tanpa rasa kekok. Menyedari kehadiran saya, beliau memandang saya. Senyuman mesra mekar di bibir kami berdua. Terus rasa gementar dan rasa gusar hilang terus dari jiwa saya.
“Vanakam, ayya.”
“Vanakam,” balas beliau dengan mesra.
“Saya dah banyak membaca cerpen tuan …”
“Ya? Bagus. Tetapi janganlah panggil saya ‘tuan’. Panggil ’saudara’ atau panggil sahaja dengan nama. Saudara tahu nama saya, bukan?”
“Ya,” saya menjawab gembira. “Juga nama-nama pena tuan… err… saudara.”
Bermula dengan perkenalan itu, kami mula membincangkan pelbagai hal tentang bidang penulisan sastera. Betullah jangkaan saya: Beliau tidak kedekut ilmu. Pandangan beliau juga kritis. Malah beliau menerima komen saya terhadap karya-karya beliau secara terbuka. Beliau tidak malu untuk mengaku bahawa beliau sendiri sedang ‘belajar’ untuk meningkatkan mutu karya beliau.
Sedang kami rancak berbincang – bukan sekadar berbual – terdengar suara orang mengumumkan bahawa Datuk sudah sampai. Serta-merta AJK pihak penganjur mengutip kertas-kertas yang bertaburan di lantai dewan dan membuangnya ke dalam tong.
“Sedih,” sasterawan itu mengeluh. “Kertas kerja saya bertaraf sampah di Siru Kambam.”
“Agaknya mereka tidak tahu menghargai hasil kerja saudara,” saya menjelaskan dengan rasa malu yang amat sangat. “Tetapi bukan semua orang begitu.”
“I can see that,” balas beliau sambil memandang orang ramai yang sedang terburu-buru menuju ke luar dewan.
“Datuk sudah sampai! Datuk sudah sampai!”
Datuk tiba
Dari dalam kerumunan para penduduk berhampiran pintu masuk, muncullah Tuan Presiden mengiringi Datuk yang berpakaian kot. Orang ramai sedang mengambil peluang untuk menjabat tangan Datuk. Tuan Presiden pula dengan bangga mengarahkan AJK mengambil gambar beliau yang berjalan di sisi Datuk.
Akhirnya Datuk sampai ke pentas di bahagian hadapan dewan. Para penduduk yang berkerumun dan mengekori tadi sudah mula mengambil tempat duduk. Kehadiran sungguh menggalakkan; di luar jangkaan saya sendiri! Penduduk Aulong Lama, Aulong, Kampong Boyan serta kampung-kampung berhampiran telah turut hadir.
Kalau tadi dewan lengang, kini padat. Beberapa puluh orang terpaksa berdiri di bahagian belakang dewan kerana kekurangan kerusi. Malah sejumlah lagi penduduk terpaksa berdiri di luar dewan.
“Saudara tidak ke pentas?” tanya saya.
“Tunggulah mereka jemput.”
Sejurus selepas itu, majlis bermula. Sasterawan yang datang sebagai penceramah pun diminta naik ke pentas. Kerusi-kerusi sofa memang telah disediakan di situ. Datuk, Tuan Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Wanita dan sasterawan duduk di sana.
Majlis bermula pada pukul 10:45 pagi; lewat 45 minit. Pengerusi majlis menjemput Tuan Presiden untuk menyampaikan ucapan aluan. Ternyata Tuan Presiden sekadar memuji-muji kepimpinan Datuk serta mengucapkan terima kasih atas kesudian Datuk ‘mencemar diri’ memenuhi undangan pihak Pertubuhan Politik India cawangan Siru Kambam untuk hadir merasmikan sesi ceramah sastera.
“Atas saranan Datuk, demi untuk mengelakkan golongan belia terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang kurang bermanfaat, PPI Siru Kambam menganjurkan pelbagai aktiviti mengikut arahan Datuk.”
Demikian antara isi ucapan Tuan Presiden yang disampaikan dalam Bahasa Tamil yang penuh berbunga-bunga.
“Datuk juga pakar dalam bidang sastera. Jadi, diharapkan kedatangan Datuk akan mencambah-kan minat membaca karya sastera dalam jiwa para penduduk kaum India, khususnya golongan muda di Siru Kambam. Diharap Datuk akan sudi memperkatakan tentang karya sastera bagaimana yang perlu bagi mewujudkan mobiliti sosial dalam masyarakat kita.”
Pelik! Siapakah sebenarnya penceramah?
… bersambung

