Datuk datang ke kampung kami 1

Uthaya Sankar SB

Bahagian 1

Di sini saya mahu menceritakan apa yang benar-benar berlaku enam tahun lalu. Tahun 1995.

Waktu itu saya belum bergelar sasterawan. Saya masih seorang pelajar. Seorang pelajar yang bercita-cita menjadi penulis. Maka kedatangan Datuk ke kampung kami seharusnya merupakan suatu anugerah besar. Sesungguhnyalah masing-masing penduduk berasa bangga kerana Datuk telah sudi menerima undangan bagi merasmikan ceramah yang diadakan.

Saya sebagai seorang peminat sastera tidak sabar-sabar menantikan ceramah yang dijadualkan selama tiga jam itu. Apabila salah seorang rakan memberitahu saya hampir sebulan lalu bahawa Pertubuhan Politik India (PPI) di kampung kami bakal menganjurkan sebuah sesi ceramah sastera di Dewan Besar Siru Kambam, saya sudah dapat membayangkan bahawa jalan bakal terbuka bagi saya mendekati seorang sasterawan. Sudah terbayang dalam imaginasi saya bahawa saya akan mendapat bimbingan dan motivasi untuk berusaha menerbitkan karya-karya saya.

UTHAYA SANKAR SB is a programme coordinator at the Prime Group of Colleges, Subang Jaya and the founder president of the Malaysian Indian Writers’ Association (Kavyan). He produces creative pieces which are mostly in Bahasa Malaysia that has won him a few awards. Uthaya’s webpage address is www.uthayasb.cjb.net and he can be contacted at uthayasb@kavyan.cjb.net.
It was first published in Dewan Sastera, February 1997.
Fiction in either Bahasa Melayu or English can be sent to sajakkini@gmail.com. We’re always on the lookout for smart, good fiction.

Berjinak-jinak menulis

Sesungguhnya saya telah mula menulis sejak berada dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Darul Ridwan. Saya minta rakan-rakan saya membaca cerpen-cerpen yang saya hasilkan. Mereka sukakannya. Malangnya saya belum cukup berani untuk cuba menghantar karya-karya saya ke mana-mana penerbitan.
Tetapi itu bab lain, saya kira.

Apa yang mahu saya ceritakan di sini adalah tentang ceramah sastera itu. Saya agak kurang percaya juga apabila mendapat tahu bahawa PPI cawangan Siru Kambam sanggup menjadi penganjur bagi ceramah seumpama itu. Sebelum ini, ia biasanya hanya menganjurkan acara-acara pesta, Malam Deepavali, hari sukan, ceramah politik (menjelang pilihan raya), pertemuan wanita dan seumpamanya yang pasti dihubungkaitkan dengan Datuk dan kepimpinan Datuk.

Saya tidak harus berprasangka buruk, bukan? Sepatutnya saya menghargai usaha PPI Siru Kambam menjemput seorang tokoh sasterawan kaum India bagi memberi ceramah. Tambahan pula, karya-karya beliau adalah antara yang paling saya minati. Saya sukakan cara beliau mengangkat tema dari hidup masyarakat India di negara kita untuk dijadikan bahan cerpen.

Kalau boleh, saya sendiri mahu mengikut jejak beliau. Dan kedatangan beliau ke Siru Kambam merupakan suatu impian yang menjadi kenyataan bagi saya. Judul ceramahnya juga cukup menarik:

Sasterawan dan Pembaca Kaum India dalam Sastera BAHASA MALAYSIA: Untuk Apa? Di Mana Mereka? Berapa Ramai? Siapa Mereka? Perlukah Mereka?

Ceramah Bahasa Tamil

Tarikh yang dijadualkan pun tiba. Sejak dua minggu sebelumnya, para ahli jawatankuasa PPI telah memulakan kerja membaik pulih dan menghias dewan. Surat-surat jemputan telah diedarkan; terutamanya kepada para penduduk kaum India – kerana ceramah akan dikendalikan dalam Bahasa Tamil. Khabarnya penceramah dan sasterawan itu sendiri yang meminta supaya dibenarkan memberi ceramah dalam Bahasa Tamil. Cuma kertas kerja akan menggunakan BAHASA MALAYSIA – kerana beliau kurang lancar menulis dan membaca tulisan Tamil.

Dan pada pagi Sabtu itu, para AJK segak berpakaian jibba dan vesthi atau anggun bersari baru. Sejak awal pagi lagi Dewan Besar Siru Kambam – yang pada realitinya hanya muat bagi sekitar seratus orang – dipastikan lengkap segalanya: backdrop yang mencatatkan nama Datuk sebagai perasmi ceramah sastera, peralatan pembesar suara dipastikan berfungsi dengan baik, kerusi tersusun kemas. Ringkasnya: semua.

Sementara menunggu acara bermula, diputarkan lagu-lagu lama yang berentak rancak dan bersemangat. Tetapi sejurus selepas itu, dengan izin Tuan Presiden yang sibuk macam kucing beranak sulung, seorang pemuda memasang lagu-lagu daripada filem-filem Tamil terkini. Kaset lagu-lagu filem Annamalai, Baatcha, Muthu dan Mannan dipasang berulang kali.

“Datuk belum sampai?”

Tuan Presiden kelihatan resah. Saya pada waktu itu sudah pun berada di dalam dewan dan sedang meneliti kertas kerja yang diedarkan. Beberapa orang lagi peminat sastera Tamil sedang duduk dalam satu kelompok sambil membelek-belek kertas kerja.

“Malu betul,” kata seseorang dalam kumpulan itu. “Penganjur ceramah ini Pertubuhan Politik India. Penceramah pun orang India. Tetapi kertas yang diberi dalam Bahasa Melayu. Macam mana kita semua nak baca?”

Saya tak reti Bahasa Tamil

“Penulis tu tak boleh menulis Tamil,” seorang lagi menjelaskan sambil menambah: “Entah-entah nanti dia akan cakap Melayu juga!”

“Apa yang nak dia cakap? Kita dulu banyak juga menulis cerpen dan tersiar di banyak surat khabar Tamil. Tetapi kita tak pun buat ceramah. Dia ini pula buat-buat pandai! Nak menunjuklah tu. Apakah dia akan mampu menyampaikan sesuatu yang kita sebagai golongan penulis Tamil veteran tidak tahu?”

Saya cuba untuk tidak mengendahkan kata-kata mereka. Mereka cemburu agaknya. Setahu saya, Tuan Presiden sendiri yang menelefon sasterawan itu berulang kali untuk menjemput beliau memberi ceramah di kampung kami. Sebelum ini beliau memang aktif berceramah di serata tempat atas undangan pelbagai pihak. Malah beliau juga sering menulis artikel-artikel berupa bimbingan bagi penulis-penulis muda di beberapa akhbar nasional dan majalah BAHASA MALAYSIA.

Saya akui mutu karya beliau – karya kreatif serta artikel sastera. Malah, tulisan-tulisan beliau menjadi perangsang kepada saya untuk menulis secara lebih aktif dalam sastera BAHASA MALAYSIA.

“Tak ada apa-apa berita?”

Saya memandang ke arah pintu masuk dewan apabila beberapa kali terdengar suara Tuan Presiden bertanya kepada salah seorang AJK yang turut kelihatan resah.

“Belum, tuan.”

“Sekarang sudah pukul sembilan suku. Tak apalah, masih ada waktu. Lambat pun tak apa. Kita tunggu. Tapi Datuk mesti datang. Kalau tak, sia-sialah segala rancangan kita,” Tuan Presiden berkata lagi dengan suara yang masih berisi kegusaran.

“Benar, tuan.”

“Cuba awak telefon Datuk… Cuba ingatkan Datuk…”

Datuk datang lambat

AJK tadi segera pergi untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Saya kembali meneliti kertas kerja. Kupasan yang dilakukan cukup bernas. Sesungguhnyalah sasterawan ini bijak memilih topik. Isi kertas kerjanya menepati judul. Beliau mengupas topik berkenaan dengan mendalam dan penuh berani. Kalau Datuk sempat membacanya, pasti telinganya berdesing! Pedas.

“Oh! Awakkah orang itu?”

Di pintu masuk dewan kelihatan seorang lelaki berpakaian kemas. Terus saya cam wajahnya yang sering terpampang di akhbar dan majalah BAHASA MALAYSIA.

“Awal awak datang!” Kedengaran Tuan Presiden memberitahu beliau. “Datuk belum sampai. Awak duduklah mana-mana dulu. Nanti kami panggil.”

Saya dapat merasakan degup jantung saya. Saat yang saya nantikan sudah tiba. Saya kini dapat bersemuka dengan sasterawan kegemaran saya. Untuk itu, saya perlu bertindak segera. Kalau tidak, orang lain akan mengerumuninya.

Tetapi anehnya saya terus terpaku di kerusi. Cuma pandangan saya masih tertumpu pada sekujur tubuh kecil di pintu masuk. Tuan Presiden sedang bercakap dengan Setiausaha. Sasterawan itu pula terpinga-pinga di tempat tadi. Para penduduk yang berada di dalam dan di luar dewan tidak mengendahkan kehadiran beliau.

Aneh! Mungkinkah mereka tidak mengenali beliau? Maklumlah sahaja karya-karya beliau hanya tersiar di media BAHASA MALAYSIA. Gambar beliau juga tidak pernah terpampang di akhbar Tamil.

bersambung

Datuk datang ke kampung kami 1

Posted: March 2, 2005

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://sajakkini.blogsome.com/2005/03/02/datuk-datang-ke-kampung-kami-1/trackback/

Belum ada Ulasan Lagi.

RSS feed for comments on this post.

Sila Mengulas

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>