Datuk datang ke kampung kami 1

Uthaya Sankar SB

Bahagian 1

Di sini saya mahu menceritakan apa yang benar-benar berlaku enam tahun lalu. Tahun 1995.

Waktu itu saya belum bergelar sasterawan. Saya masih seorang pelajar. Seorang pelajar yang bercita-cita menjadi penulis. Maka kedatangan Datuk ke kampung kami seharusnya merupakan suatu anugerah besar. Sesungguhnyalah masing-masing penduduk berasa bangga kerana Datuk telah sudi menerima undangan bagi merasmikan ceramah yang diadakan.

Saya sebagai seorang peminat sastera tidak sabar-sabar menantikan ceramah yang dijadualkan selama tiga jam itu. Apabila salah seorang rakan memberitahu saya hampir sebulan lalu bahawa Pertubuhan Politik India (PPI) di kampung kami bakal menganjurkan sebuah sesi ceramah sastera di Dewan Besar Siru Kambam, saya sudah dapat membayangkan bahawa jalan bakal terbuka bagi saya mendekati seorang sasterawan. Sudah terbayang dalam imaginasi saya bahawa saya akan mendapat bimbingan dan motivasi untuk berusaha menerbitkan karya-karya saya. (more…)

Posted: March 2, 2005 Ulasan (0)