Renew Logout Support Cerpen - Gergasi Inovasi Sejagat

Saifullizan Tahir

Apabila kamu mendapat pesanan aku, pastinya aku sudah tiada lagi di dunia yang kamu diami ini. Aku telah mendahului kamu semua ke dunia yang lain. Mungkin kita akan bertemu lagi, tetapi itu bukan kuasaku untuk menentukannya.

Ia juga bermakna, ia telah berjaya melakukan apa yang sepatutnya ia lakukan lama dahulu. Sebelum itu, jika kamu biasa mendengar cerita tentang hamba yang menjadi raja, tentang raja yang menjadi hamba kepada sahayanya, kamu tentu dapat mengaitkan diri kepada cerita yang bakal aku sampaikan ini.

Telah berbuih mulutku cuba meyakinkan kamu semua, namun kini semuanya telah terlambat (terlambat bagiku). Sekarang terpulang kepada kamu semua untuk meneruskan perjuangan (pun jika boleh dikatakan perjuangan).

Selama ini aku digelar Don Quixote lengkap dengan pacu dan perisai berperang sendirian. Menentang gergasi yang hanya muncul di mataku sahaja. Aku ditertawa, aku dianggap paranoid dan gila. Berhalusinasi tentang benda yang tidak wujud.

SAIFULLIZAN TAHIR dilahirkan pada tahun 1971. Sejak kecil dia suka mendengar cerita dan membaca. Sekarang bekerja sebagai arkitek landskap di Putrajaya. Menulis menjadi aktivitinya jika dia tidak dapat tidur malam (bila dah tak ada buku untuk dibaca). Dia juga menulis bila dia rasa dia kena menulis, namun lazimya, dia malas menulis. Kebanyakan tulisannya adalah dalam bentuk cerpen, tetapi ada juga puisi, skrip dan rencana. semasa kecil dia bercita-cita menjadi pembikin filem. Kini, walaupun dah besar panjang dia masih menyimpan mimpinya itu.
Cerpen GIS disiarkan di Mingguan Malaysia pada 6 Jan, 2002.
Fiction in either Bahasa Melayu or English can be sent to sajakkini@gmail.com. We’re always on the lookout for smart, good fiction.
Namun begitu, aku akui, memang ada persamaan hidupku dengan watak fiksyen karya Cervantes itu. Aku dikatakan gila kerana dipengaruhi oleh buku-buku. Mereka juga membakar semua bukuku (seperti dalam hikayat itu!). Aku tidak nafikan yang buku banyak mencorak kehidupanku, tetapi membuat kesimpulan yang buku-buku itu menjadikan aku hilang kewarasan adalah tidak munasabah. Apatah lagi menggelar aku tidak siuman.

Keputusan

Sejak kecil, buku telah menjadi rujukanku untuk membuat keputusan yang penting dalam hidup. Cara aku memilih profesionku kini pun bermula dari pembacaan buku. Masih kuingat pada 1994, pada ketika itu umurku masih hijau. Tidak seperti remaja lain, aku memilih kedai buku sebagai tempat lepak. Kedai buku bagiku adalah gedung yang dipenuhi oleh ribuan dunia yang menanti untuk diselak.

Dengan ketentuan takdir, ataupun satu kebetulan yang memang disengajakan, aku terlihat sebuah buku fiksyen sains berjudul Virtual Light karya William Gibson. Dari pandangan pertama kau terus mencapai dan membacanya. Aku datang ke kedai itu tiga hari berturut-turut untuk menghabiskannya (ketika itu aku mempunyai banyak masa, tetapi sedikit wang).

Dari buku itu aku tertarik untuk menjadi seorang arkitek landskap. Di dalam cerita itu, arkitek landskap menggunakan virtual world/dunia maya untuk menguji ruang-ruang untuk mereka bentuk. Aku tertarik dengan idea mencipta, bukan maksudku untuk melawan Tuhan, tetapi kita sendiri dicipta daripada imej-Nya, naluri mencipta ada dalam semua orang.

Beberapa bulan selepas itu aku tertarik pula kepada sebuah buku cerita berlatarbelakangkan pengajian masyarakat Greek, Secret History oleh Donna Tartt (aku lupa hendak memberitahu kamu semua, minatku adalah kepada benda yang ekstrem, sesuatu yang futuristik atau sesuatu yang lama) dengan cara itu aku dapat menimbangkan kewujudan semasa.

Dari buku itu aku meniru watak Richard Papen memohon ke universiti. Aku menulis sendiri kepada seorang profesor untuk mendapatkan tempat di universiti yang tersohor itu. Di situlah aku bertemu dengan Prof. Dr. Harris Jacob, dan beliaulah yang bertanggungjawab mengenalkan aku kepada Virtual Reality (VR)/Realiti Maya dan Geographical Information System (GIS)/Sistem Maklumat Geografi.

Bermula dari itu aku memulakan kerjayaku sebagai ahli penyelidik, kerana tidak seperti dalam buku si Gibson, profesion arkitek landskap ketika itu masih belum menggunakan VR, profesion itu belum bersedia untuk menerimaku. Jadi, untuk aku mencapai impian mereka bentuk dalam dunia maya, aku perlu membuat penyelidikan sendiri dan membangunkannya sendiri. Sejak dari hari itu, aku tidak pernah meninggalkan universiti.

Bukankah buku telah memberi banyak kebaikan kepadaku? Cukup mengenaiku dengan buku-buku. Apa yang ingin aku sampaikan ini adalah tentang masa depan kamu semua.

Sejarah silam

Apa yang aku ceritakan tadi adalah sejarah. Lima puluh tahun sudah berlalu. Dunia telah banyak berubah, fesyen berubah, muzik dan filem juga sudah tidak sama lagi. Tetapi apa yang lebih penting, ketika itu dunia masih diperintah oleh manusia.

Walaupun begitu, kamu tidak merasakan sesuatu yang pelik dalam kehidupan seharian kamu. Aku mengerti, ini adalah kerana perubahan yang berlaku adalah secara halus. Aku sudah sampai kepada cerita yang memerlukan perhatian kamu semua. Aku tidak mengharapkan kamu menghadamkan terus apa yang aku sampaikan ini, nasihatku, telan dahulu, biar masa dan saki-baki kemanusiaan yang tertinggal dalam dirimu membeleknya nanti.

GIS - Gergasi Inovasi Sejagat yang dahulunya hanya satu perisian yang tidak boleh berfungsi tanpa pengendalian manusia dan kemasukan maklumat, telah bernyawa. Pada tahun 2014, GIS diberi Artificial Intelligence (AI)/Kepandaian Ciptaan untuk membuat keputusan. Aku dan beberapa rakanku yang bertanggungjawab melakukannya. Namun sekarang hanya aku seorang sahaja yang masih berada di dunia ini.

Seperti lumrah benda bernyawa, ia ingin terus hidup seribu tahun lagi. Seratus tahun jangka hayat manusia biasa tidak cukup (terima kasih kepada teknologi VR dan GIS yang membantu doktor-doktor membuat penemuan dalam penyelidikan mereka, GIS membantu mereka menyusun peta turutan deoxyribonucleic acid (DNA) manusia dan VR membantu mereka melakukan pembedahan otak yang rumit; dengan itu manusia dapat hidup lebih lama lagi). Untuk memastikan ia akan terus hidup, dia perlu membunuh orang-orang sepertiku.

GIS yang dilengkapi dengan AI telah memerintah negara ini sejak 10 tahun lalu, perkara yang hanya aku sedari beberapa bulan lepas. Lagipun katakan, aku sudah terlambat.

Adakah aku gila?

Kamu mungkin bertempik yang aku sememangnya gila sekarang ini. Masakan komputer yang memerintah negara? Tetapi sabar, berikan aku sedikit lagi masa untuk menerangkan kepada kamu semua. Fikirkan ini, tidakkah kau berasa hairan, bagaimana kamu boleh hidup dengan aman sekali? Kenapa kamu merasakan yang segalanya lengkap di sekeliling kamu? Taman-taman ada di jarak tak lebih daripada 15 minit berjalan kaki. Udara yang disedut begitu nyaman tanpa pencemaran. Air sungai jernih mengalir di bandar-bandar. Tiada kejadian jenayah. Kenapa? Kerana masyarakat kita telah bertamadun? Fikirkan semula.

Ini rahsianya. Mereka memerhatikan kamu semua (mungkin sekarang kamu mengatakan yang aku terpengaruh dengan novel Brave New World oleh Aldous Huxley ataupun Nineteen Eighty Four oleh George Orwell, sumpah, aku tak pernah baca kedua-dua novel agung ini). Aku cuba kupaskan dengan bahasa yang mudah agar kau boleh memahaminya.

Semua ini mereka lakukan dengan memasukkan penerima isyarat (isyarat-isyarat ini dicerap oleh satelit dan dimasukkan ke gedung maklumat) di dalam telefon bimbit kamu (pada awal pencubaan), kemudian di dalam kad pintar kamu. (Semasa percubaan dahulu, mereka menggunakan bandar Segamat sebagai kajian kes). Ia memetakan setiap pergerakan kamu.

Dari isyarat-isyarat ini ia menganalisis perwatakan kamu. Ini dilakukan dengan menindankan maklumat pergerakan kamu tadi dengan peta fizikal (tempat yang kamu tuju), ditindankan lagi kepada model psikologi, model penempatan, malahan pelbagai model lagi.

Setiap maklumat diri kamu ada disimpan di satu gedung maklumat yang sangat besar. Satu sistem komputer yang sebesar dan seluas Putrajaya. Selain daripada maklumat diri kamu yang diambil dari satelit. Ia mengumpul maklumat setiap kali kamu on-line. Setiap pembelian di laman web.

Setiap pembelian melalui kad pintar. Setiap nombor telefon yang kamu dail. Setiap kali kamu ke hospital untuk rawatan. Maklumat-maklumat kamu dikemas kini setiap saat. Maklumat-maklumat ini diberi kelas-kelasnya yang tersendiri, dengan attributes yang beribu, malahan berjuta.

Dari situ dia tahu. Dia tahu buku apa yang kamu baca, dia tahu filem apa yang kamu tonton, dia tahu makanan apa yang kamu suka. Ia tahu ke mana kamu pergi malam hari tanpa pengetahuan isteri-isteri kamu. Dia tahu warna apa kegemaran kamu (kamu sendiri mungkin tidak tahu, jika kamu mahu tahu, buka almari baju kamu sekarang).

Dia tahu, dengan siapa kamu berurusan. Dia tahu jenis darah kamu, malahan dia ada peta genologikal kamu. Dia boleh meramal penyakit apa yang kau akan hidapi semasa senja kehidupan kamu, dia boleh menganggar jangka hayat kamu.

Analisis canggih

Ini telah bermula 30 tahun yang lampau. GIS membuat analisis kepada semua benda, dari perancangan bandar, ekologi, trafik, jenayah, kebakaran, guna tanah, sistem saliran, sistem komunikasi, sistem kumbahan, senarainya berterusan tanpa henti. Berjuta-juta analisis telah dibuat. Analisis dari analisis dari analisis, bagai labyrinth yang tak berkesudahan. Mereka membuat analisis dari maklumat genologikal kamu, dari laman web yang kamu pergi, dari sekolah yang kamu pergi, dari jenis sayur yang kau beli.

Sebelum bayi lahir, mereka boleh buat ramalan perwatakan, malah segala-gala tentang bayi itu. Bukan itu sahaja, mereka boleh mencorak hidup kamu mengikut apa yang mereka mahukan. Jika tidak masakan tiada satu pun kes jenayah yang dilaporkan sejak 10 tahun yang lalu! Jika ada pun bencana, ia adalah satu kemalangan, tetapi adakah ia benar-benar satu kemalangan?

Kamu mungkin mengatakan tidak, semua ini karut. Ini hanya dongengan orang gila yang berhalusinasi kesan dari paranoid yang kronik. Kamu katakan kerajaan yang kamu pilih ini adalah pilihan kamu sendiri. Demokrasi. Tetapi, benarkah kamu yang pilih? Ataupun kamu telah dicorakkan agar memilihnya?

Pemimpin yang kamu pilih itu sendiri tidak tahu mereka sebenarnya adalah salah satu dari alat caturnya. Mereka membuat keputusan daripada analisis-analisis yang dibuat olehnya. Bukan itu sahaja, dia telah memerhatikan calon-calon ini lama dahulu. Sebelum mereka terfikir untuk memasuki politik lagi. Ia juga sudah ada senarai bakal Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet untuk tempoh 100 tahun akan datang!

Dari segi penempatan, ia menempatkan kamu daripada analisis yang dibuat, peminat sukan tinggal berdekatan dengan kompleks sukan. Para ulat buku berdekatan dengan perpustakaan dan kedai-kedai buku.

Adakah ini satu kebetulan? Pekerjaan yang kamu lakukan sekarang, adakah benar pekerjaan kamu? Atau, pekerjaan yang telah dicorakkan untuk kamu? Atau, kamu telah dicorakkan untuk pekerjaan itu? Tetapi satu soalan yang perlu kamu jawab sekarang; Siapakah kamu sebenarnya? Adakah kamu seorang manusia yang tulen atau seorang yang telah dirancang sebelum ibu bapa kamu berkenalan lagi?

Biar apa pun kamu katakan tentang diri kamu, kamu adalah salah satu bata yang disusun untuk digelar bangunan. Seperti lumrah bangunan, mesti ada perubahan, pengubahsuaian malahan pelupusan! Jarang sekali dilakukan pemuliharaan.

Terimalah pesanan aku

Setelah kamu menerima pesanan aku ini, kamu akan terbahagi kepada beberapa golongan. Pertama, mereka yang mempercayai kata-kataku, kedua, mereka yang menganggap aku gila (aku telah membuat analisis sendiri, ramai yang tergolong dalam kelas ini). Ketiga, golongan yang tak peduli sama ada aku betul atau tidak. Golongan yang pertama pula terbahagi kepada dua, mereka yang akan mengikut jejakku dan mereka yang sedang menjejakiku.

Mereka yang sedang menjejak dan memerhatikanku adalah golongan elit yang dibentuk sejak mereka lahir. Mereka dipercayai olehnya untuk melakukan kerja-kerja manusia. Selain memerhatiku secara fizikal, mereka jugalah yang bertanggungjawab menjalankan penyelenggaraan untuk perkakasan GIS. Mereka mendapat arahan terus daripadanya.

Ini bukan khayalan aku semata-mata. Aku pernah bersemuka dengan mereka. Tiada bezanya mereka dengan kamu semua, lainnya adalah mereka bagaikan seseorang yang telah dibuka hijab pandangannya untuk melihat kebenaran. Kebenaran yang pada kamu bukan satu kenyataan.

Sekarang aku tidak lagi menjalani kehidupan seharian seperti kamu semua. Setiap kali aku pandang ke langit, bukan awan dan bintang yang ku nampak, tetapi puluhan ribu satelit malahan ratusan ribu lagi alat pencerap. Tiada sambungan komputer, tiada telefon bimbit yang aku gunakan. Aku hidup seperti manusia hidup. Bebas membuat kesilapan tanpa dogma komputer yang menentukan.

Aku sedar mereka telah memerhatiku sekian lama. Mereka menunggu bila bom ini akan meledak. Apa yang menghairankan aku adalah kenapa mereka membiarkan aku pergi sejauh ini. Mungkin kerana menganggap aku sebagai bapa mereka. Mungkin juga kerana mereka tahu, tiada siapa akan mempercayai kata-kataku, dan apa yang aku katakan ini hanyalah daripada seorang yang tenat dengan penyakit jiwanya.

Aku masih memandu Proton Iswara klasik keluaran 1997, tiada sistem automatis dan Global Positioning System (GPS) /Sistem Penjejak Global yang terpasang. Walaupun ini tak banyak membantuku lari daripada pengawasannya (sistem satelit ada memaparkan imej setiap 2.5 saat pergerakan lalu lintas), sekurang-kurangnya aku tidak bergantung kepada GIS. GIS yang dahulunya hanyalah sebagai alat bantuan, kini telah menjadi tuan. Kita semua adalah hambanya.

Selesai sudah tugasku, kini terpulang kepada kamu semua. Aku tahu aku tak akan lama di sini, dengan itu aku memohon kemaafan daripada kamu semua. Harapanku, kemanusiaan akan tetap hidup. Baton ini aku serahkan kepada kamu semua. Titik akhir pesanan suara.

Berjuntai Bestari, 4/4/2044. Salah seorang tokoh pelopor e-kerajaan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Kereta antik yang dipandunya dirempuh oleh lori di persimpangan jalan utama di sini. Menurut laporan polis, lampu isyarat didapati tidak berfungsi dengan baik. Untuk jaminan pemanduan yang lancar, pasangkan sistem GIS dan GPS pada kenderaan anda.

Cerpen - Gergasi Inovasi Sejagat

Posted: February 22, 2005

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://sajakkini.blogsome.com/2005/02/22/renewlogoutsupportcerpen-gergasi-inovasi-sejagat/trackback/

Belum ada Ulasan Lagi.

RSS feed for comments on this post.

Sila Mengulas

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>