Kisah seorang bekas pelarian
Hishamuddin Rais
Tujuh tahun dahulu satelah bosan berulang alik mengikuti lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban, saya telah cuba mencari jalan baru untuk pulang ke Jelebu. Satu petang, semasa tercari-cari jalan keluar ke Kuala Lumpur di daerah Broga Semenyih, saya terserempak dengan sebuah bangunan. Saya terperanjat besar. Struktur bangunan seperti ini telah selalu saya lihat dalam filem.
Kerana saya ini tahi wayang, maka saya jangkakan bangunan tersergam di pinggir jalan kecil ini pastilah sebuah ’set’ filem perang Dunia ke 2. Mana tahu, mungkin Stanley Kubrik pembuat filem yang kuat menyimpan rahsia tentang filemnya, secara diam-diam telah datang membuat penggambaran di Broga.
Anggapan saya ini tidak mungkin salah kerana apa yang saya nampak ialah tembok papan dan batu empat persegi seluas dua padang bola. Di keliling tembok ini ada pagar kawat berduri. Di setiap bucu tembok ini ada pula tangga kayu tinggi yang menghubung ke sebuah pondok papan pengawal yang beratap zinc. Di bucu tembok ini juga kelihatan lampu besar yang boleh dipusing-pusing sambil menyuluh jauh.
Sesiapa yang pernah menonton filem perang Dunia ke-2 pasti memahami bahawa inilah rupa bentuk kem tahanan tentera Nazi Hitler. Tembok dan kawat berduri yang saya lihat itu betul-betul seperti apa yang pernah saya lihat dalam filem The Bridge on the River Kwai. Hanya bukan soldadu Jepun atau askar Nazi German yang tegak berdiri di atas setiap bucu tembok. (more…)




